My Add

Sunday 15 June 2014

Usaha pencarian MH370 ditingkatkan

 * HISHAMMUDDIN Tun Hussien berbual dengan Shahiruddin Ab. Moin (kiri) semasa hadir meraikan majlis perkahwinan anak lelaki Exco itu di Raub, Pahang, semalam. Turut hadir isteri Hishammuddin, Datin Seri Tengku Marsila Tengku Abdullah (belakang, dua dari kanan). - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SABTU 14 Jun, 2014: Usaha pencarian penerbangan MH370 yang hilang sejak lebih 100 hari lalu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan bantuan negara besar seperti China dan Australia.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, menerusi hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan dua negara terbabit serta negara ASEAN lain, operasi pencarian menjadi lebih mudah.

“Kita bagi jaminan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, China, Australia dan negara-negara ASEAN lain kepada anggota keluarga (penumpang dan kru MH370), kita bersama-sama mereka dalam usaha pencarian ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan anak kepada Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang, Datuk Shahiruddin Ab. Moin di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata hubungan kukuh antara negara yang terlibat dalam pencarian amat penting bagi menangkis dakwaan konspirasi geopolitik yang mahu melaga-lagakan Malaysia, China dan Australia.

Sementara itu, mengulas mengenai militan, beliau berkata, kerajaan tidak ‘memilih bulu’ dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang bersekongkol dengan kegiatan militan di negara ini.

Menurut beliau, pihak berkuasa melakukan siasatan secara telus terhadap mereka yang terlibat terma­suk kalangan pasukan keselamatan dengan dikenakan tindakan tegas jika didapati benar terlibat dalam kegiatan itu.

“Tidak kira dia anggota polis, tentera, imigresen atau kastam, jika didapati ada yang menggunakan jawatan mereka untuk bergiat dalam militan dan mengkhianati keselamatan negara akan diambil tindakan tegas.

“Namun, siasatan rapi akan dilakukan supaya mereka terbabit dibawa ke muka pengadilan dan saya berharap siasatan telus untuk menzahirkan mereka yang bersalah serta tidak membabitkan pihak yang tidak berdosa," katanya.

Hishammuddin diminta mengulas mengenai tiga rakyat tempatan termasuk seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan di Sandakan, Sabah kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan militan.

Menurut Hishammuddin, siasatan rapi dibuat kerana kerajaan ingin membuktikan kepada rakyat bahawa aspek pertahanan dan keselamatan tetap dipandang serius dan memberi pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab supaya jangan mengganggu keamanan serta kesejahteraan rakyat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment