My Add

Saturday 14 June 2014

Polis siasat pengendali Facebook

KUALA LUMPUR, JUMAAT 13 Jun, 2014: Trafik Bukit Aman telah membuat satu laporan polis bagi membolehkan pengendali laman Facebook yang kononnya memberi diskaun sehingga 50 peratus kepada pesalah jalan raya, disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya.

Pemberian diskaun itu mula dikesan dipaparkan di laman Facebook www.facebook.com/samanmurahinsurancemudah sejak tahun lalu.

Ketuanya, Senior Asisten Komisioner Mohd. Fuad Abd. Latiff berkata, laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Ogos tahun lalu dan kini masih dalam siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

"Perkara ini sudah lama berlaku dan kini mereka muncul kembali. Namun saya yakin JSJK akan menyiasat punca laman web tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas melepaskan konvoi bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama 1Malaysia for Youth (1M4U) dan Kelab Sukan Bermotor Aspirasi (1MC) di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, kementeriannya tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat untuk urusan seperti memberi diskaun atau kompaun kepada pesalah trafik.

Justeru itu, Ahmad Zahid mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran seumpama itu dan sebaliknya merujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau menarik perhatian bahawa kira-kira 12,000 individu telah berdaftar dengan sebuah syarikat yang dikenal pasti kononnya menawarkan diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau PDRM.

Mohd. Fuad berkata, polis telah menetapkan diskaun terhadap saman trafik berdasarkan tempoh pembayaran.

"Prinsip yang digunakan ialah semakin lama tangguh, semakin banyak jumlah akan dibayar. Misalnya jika saman itu dibayar dalam tempoh kurang sebulan, mereka akan dapat diskaun sebanyak 50 peratus, masuk bulan kedua akan dapat diskaun 30 peratus sementara selepas tiga bulan mereka perlu bayar maksimum," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai video tindakan seorang anggota polis trafik mengoyakkan duit dipercayai wang rasuah yang disebarkan di internet, Mohd. Fuad berkata, sekiranya pemandu berkenaan tidak berpuas hati, dia perlu tampil untuk membuat laporan.

"Pada saya tindakan anggota tersebut mengoyakkan wang itu memang tidak patut, namun pemandu itu perlu tampil untuk buat laporan. Tetapi sekiranya pemandu itu buat laporan, dia kena maklum kenapa dia beri duit kepada anggota polis," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment