My Add

Saturday 14 June 2014

Kejadian tembak depan rumah Bakri

Oleh AZRAI MOHAMMAD

KUALA LUMPUR, JUMAAT 13 Jun, 2014: Seorang anggota polis pengiring kepada Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, melepaskan satu das tembakan ke arah seorang suspek bersenjata api yang berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan di hadapan rumah Timbalan Ketua Polis Negara itu di Taman Tun Dr. Ismail, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, dua anggota polis pengiring Mohd. Bakri baru sahaja tiba di hadapan rumah beliau untuk mengambilnya ke tempat kerja.

Kedua-dua anggota polis itu kemudian terlihat empat lelaki menaiki dua buah motosikal berlegar-legar di kawasan itu dalam keadaan mencurigakan.

Melihat keadaan tersebut, salah seorang anggota polis berkenaan cuba menghampiri kumpulan itu namun seorang suspek telah turun daripada motosikal sambil memegang satu objek seperti pistol menuju ke arahnya.

Terkejut melihat keadaan itu, anggota terbabit telah menjerit sebelum rakan setugasnya melepaskan satu das tembakan ke arah suspek berkenaan dalam jarak kira-kira 15 meter.

Bagaimanapun tembakan itu tersasar mengenai cermin belakang sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik jiran Mohd. Bakri dan keempat-empat suspek terus melarikan diri.

Difahamkan, ketika kejadian, Mohd. Bakri baru hendak keluar daripada rumahnya dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment