My Add

Thursday, 19 June 2014

PT3: Penerangan berterusan pastikan semua pihak faham

 Idris Jusoh, Irmohizam Ibrahim
KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: Kementerian Pendidikan akan memastikan semua pihak memahami pelaksanaan Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi mengelakkan salah faham terhadap sistem pentaksiran baharu itu.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bagi tujuan itu kerajaan antaranya telah mengeluarkan surat pekeliling Lembaga Pe­periksaan berkaitan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan PT3.

Katanya, kedua-dua surat pekeliling itu turut dimuat naik dalam portal rasmi Lembaga Peperiksaan dan diedarkan ke semua sekolah menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Bagi menjelaskan mengenai PT3 ini, surat pekeliling mengandungi tiga perkara iaitu takwim PT3 2014, jadual kerja PT3 2014 dan peraturan pentadbiran PT3 2014," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang meminta kerajaan menyatakan sejauh mana pemahaman ibu bapa mengenai sistem PT3 yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula pada 1 Julai ini.

Menurut Idris, pelaksanaan program Sarana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara juga merupakan platform kepada kementerian itu menyebarluaskan maklumat mengenai PBS dan PT3.

Beliau berkata, wakil PIBG dari setiap sekolah turut dikumpulkan mengikut daerah dan diberi penerangan serta bahan maklumat mengenai sistem penilaian tersebut.

Tambah beliau, kementerian itu menerusi sekolah dengan kerjasama PPD dan JPN akan berterusan mengadakan sesi perjumpaan bersama PIBG yang dilaksanakan sejak Mei lalu.

"Ini perkara baharu, kadang-kadang penerangan sekali masih belum faham. Kita akan pastikan semua faham demi kebaikan rakyat. Asasnya adalah kita mentaksir pelajar dalam bentuk holistik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment