My Add

Thursday 19 June 2014

Tubuh pasukan khas banteras pengubahan wang haram

 Ikmal Hisham
KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun - Kerajaan diminta menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi membanteras kegiatan pengubahan wang haram sebagai pelengkap kepada Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Pindaan) 2013.

Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) ketika mencadangkan perkara tersebut berkata, pasukan petugas khas itu perlu dianggotai pegawai-pegawai kanan Jabatan Peguam Negara dan disertai semua pegawai dari agensi penguat kuasa sedia ada.

Katanya, gabungan Jabatan Peguam Negara, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diyakini mampu berfungsi dengan lebih sempurna dalam usaha kerajaan membanteras kegiatan pengubahan wang haram.

"Kerajaan perlu memikirkan secara serius penubuhan pasukan petugas khas ini kerana mereka yang terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram semakin bijak dan canggih. Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada sesebuah agensi penguat kuasa sahaja.

"Aktiviti jenayah ini boleh memalapkan ekonomi negara jika tidak ditangani dengan berkesan," katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Pindaan) 2013 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai rang undang-undang tersebut, Ikmal Hisham berkata, terdapat beberapa perkara yang wajar dinilai semula dan dari segi perlaksanaannya kelak juga perlu dibuat secara berhemah khususnya ke atas ahli perniagaan yang tulen.

Katanya, golongan peniaga terutama yang dituduh mengelak daripada membayar cukai hasil kesilapan agensi penguat kuasa seharusnya diberi peluang untuk memperbetulkan kesilapan dan bukannya mengambil tindakan drastik dengan membekukan akaun mereka.

Bagaimanapun beliau berkata, pendekatan berhemah itu bukanlah bermaksud kerajaan perlu memberi layanan istimewa kepada golongan peniaga tetapi cukuplah sekadar mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri di mana syarikat saya dituduh tidak mencarum sedangkan caruman sudah dibuat pada 2010 dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus membekukan akaun. Bila disemak, kesilapan di pihak LHDN," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment