My Add

Friday 20 June 2014

Sarawak berpotensi raih RM1 bilion daripada industri pengeluaran udang laut

 BOHARI LENG
MUKAH, KHAMIS 19 Jun, 2014: Sarawak berpotensi memperoleh RM1 bilion setiap tahun daripada pengeluaran udang laut jika industri itu dibangunkan sepenuhnya.

Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Laut Negeri, Bohari Leng berkata, jabatan telah mengenal pasti kawasan seluas 3,000 hektar di mana pengeluaran boleh dilakukan.

Beliau berkata, kawasan-kawasan berkenaan ialah Loba Stoh/Rembungan, Santubong dan Telaga Air di bahagian Kuching, Selalang dan Belawai di Sarikei dan Tanjung Manis di Mukah.

"Kawasan-kawasan ini mempunyai potensi untuk menghasilkan 80,000 tan metrik setahun.

"Bagi membolehkannya dicapai, kita perlu menghasilkan sekurang-kurangnya lima bilion benih setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas majlis melepaskan satu juta benih udang harimau di pinggir laut di Belawai di sini semalam.

Bohari berkata, Pusat Penetasan Udang di Belawai, yang merupakan satu-satunya pusat milik kerajaan di negeri ini, mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 24 juta.

Sementara itu, beliau berkata, Sarawak tidak menghasilkan banyak udang harimau sekarang memandangkan permintaan pasaran antarabangsa adalah untuk udang putih.

"Penternak tempatan lebih kepada pengeluaran udang putih kerana tempoh matang yang lebih singkat, iaitu tiga bulan, dan kos pengeluaran yang lebih rendah.

"Sebagai perbandingan, udang harimau hanya bersedia untuk dituai selepas enam bulan dan kos pengeluaran akan lebih tinggi," katanya.

Bohari berkata, pasaran udang putih negeri adalah Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat.

Tahun lepas, ujarnya, Sarawak berjaya menghasilkan kira-kira 12,000 tan metrik produk akuakultur.

Beliau juga menasihatkan nelayan supaya tidak menebang pokok bakau di kawasan mereka kerana ia merupakan habitat untuk ikan dan udang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment