My Add

Monday 9 June 2014

Sasar perolehan RM100 juta

KUALA LUMPUR, AHAD 08 Jun, 2014: Felda D'Saji Sdn. Bhd. (Felda D’Saji), anak syarikat Felda Holdings Bhd. (Felda Holdings) mengunjurkan perolehan sebanyak RM100 juta dalam tempoh lima tahun akan datang, dipacu melalui penglibatannya dalam sektor pengurusan hotel dan program francais restoran yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

Ketua Pegawai Operasi Felda D’Saji, Ahmad Zaki Abdullah berkata, syarikat tersebut bakal menguruskan sebuah hotel milik Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd. (KPF) yang dalam proses pembinaan serta dijangka siap dan memulakan operasi menjelang suku pertama tahun depan.

Beliau berkata, hotel yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor berkenaan merupakan penglibatan sulung syarikat tersebut dalam pengurusan hotel.

Katanya, dengan pengalaman meluas dalam sektor makanan dan minuman (F&B) seperti katering dan bankuet, Felda D'Saji yakin pihaknya mampu untuk membangunkan hotel terbabit dengan baik.

"Seperti yang kita tahu, Bandar Baru Bangi adalah kawasan yang besar, namun tidak banyak dewan bankuet terdapat di kawasan itu.

"Jadi, kami mengenal pasti keperluan itu dan ia adalah satu daripada keistimewaan hotel yang mempunyai dewan bankuet dan boleh memuatkan 1,200 orang serta kemudahan acara di kawasan taman,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Hotel yang dibangunkan di kawasan seluas 2.3 hektar itu dilengkapi 300 buah bilik dan 200 buah kediaman pangsapuri. Apabila dibuka nanti, purata harga bagi bilik adalah sekitar RM220 hingga RM250 semalam.

Sementara itu, Ahmad Zaki berkata, Felda D'Saji juga merancang untuk mengadakan program francais bagi restoran jenamanya yang akan dilaksanakan pada 2015.

Menurutnya, program francais tersebut akan dilaksanakan untuk usahawan-usahawan terdiri daripada anak-anak peneroka dan mereka sedang bekerjasama dengan Felda Holdings bagi menjayakan usaha terbabit.

"Buat masa ini, Felda D'Saji beroperasi sebagai katering dan juga penyedia makanan untuk institusi seperti universiti dan kolej. Bagaimanapun kami sudah mempunyai sebuah restoran di bangunan Southgate.

"Tahun depan, Felda D'Saji menyasarkan untuk membuka lima restoran di sekitar Lembah Klang dan selepas ia berjaya, kami akan buka untuk program francais pula," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment