My Add

Monday 9 June 2014

Abdel Fattah angkat sumpah

 * GAMBAR dikeluarkan agensi berita MENA, menunjukkan Abdel Fattah (kanan) mengangkat sumpah di Mahkamah Agung Perlembagaan di Kaherah, semalam. - AGENSI
KAHERAH, AHAD 08 Jun, 2014: Bekas ketua tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi hari ini mengangkat sumpah sebagai Presiden negara ini selepas memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya bulan lalu.

Bekas Menteri Pertahanan tersebut memperoleh 96.9 peratus undi dalam pilihan raya presiden pada bulan lepas yang diboikot pergerakan Islam dan pembangkang berfahaman sekular, hampir setahun selepas menggulingkan Mohammed Mursi.

Abdel Fattah mengangkat sumpah dalam satu majlis yang diadakan di Mahkamah Agung Perlembagaan di sini yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan, selepas beliau melancarkan tindakan kekerasan ke atas pengikut pergerakan Ikhwanul Muslimin.

"Saya bersumpah atas nama Tuhan akan memelihara sistem republik dan menghormati Perlembagaan dan undang-undang serta menjaga kepentingan rakyat dan memelihara kebebasan negara," katanya.

Selepas majlis ringkas itu, Abdel Fattah yang diiringi pasukan keselamatan disambut oleh penyokong-penyokongnya di luar mahkamah tersebut.

Beliau kemudian menghadiri satu majlis sambutan di Istana Presiden yang turut dihadiri pelbagai pemimpin asing termasuk Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, kerabat diraja Arab dan pemimpin negara-negara Afrika.

Abdel Fattah selepas itu menandatangani perjanjian pemindahan kuasa dengan Presiden sementara, Adly Mansour yang dilantik selepas Mursi digulingkan pada 3 Julai lalu.

Kemenangan Abdel Fattah dalam pilihan raya pada 26 hingga 28 Mei lalu itu menunjukkan beliau masih menerima sokongan kuat apabila menyingkirkan Mursi selepas berjuta-juta rakyat mengadakan demonstrasi menamatkan pentadbiran kerajaan diterajui pergerakan Islam.

Cabaran utama bakal dihadapi Abdel Fattah adalah mengembalikan kestabilan dan memulihkan ekonomi negara selepas tiga tahun mengalami keadaan huru-hara berikutan kebangkitan rakyat pada 2011 yang menyaksikan bekas Presiden, Hosni Mubarak digulingkan. - AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment