My Add

Monday 16 June 2014

Skop pencarian pesawat MH370 lebih meluas

 Aziz Kaprawi
SUBANG, AHAD 15 Jun, 2014: Kerajaan akan meneruskan fasa terbaharu mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi biarpun belum ada bukti penemuannya selepas pesawat itu hilang lebih 100 hari yang lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata, beliau telah mengetuai sebuah Jawatankuasa Teknikal dan bekerjasama dengan kerajaan Australia bagi menjejaki pesawat itu di lautan tersebut.

"Buat masa ini dua orang pakar kita sudahpun berada di Canberra, Australia dan bekerjasama dengan pihak berkuasa di sana. Mereka yakin usaha itu harus diteruskan kerana masih ada pengharapan dalam usaha ini.

"Apatah lagi, setakat ini usaha kita menjejaki MH370 di Lautan Hindi hanya meliputi 60,000 kilometer persegi dan daripada keluasan itu pencarian baru tertumpu pada 800 kilometer persegi sahaja.

"Sedangkan Lautan Hindi keseluruhannya berkeluasan 85,000 kilometer persegi," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Karnival Udara Antarabangsa Subang di Skypark Regional Aviation Centre, Seksyen U3 di sini hari ini.

Menurut Aziz, menerusi fasa terbaharu pencarian MH370 itu, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Australia termasuk membabitkan kos perbelanjaan dalam operasi mencari kehilangan pesawat terbabit.

Tambahnya, selepas pencarian dalam fasa terbaharu itu, pihaknya akan membuat penilaian semula termasuk mengumumkan perkembangan terbaharu dalam operasi itu dan juga kos baharu yang akan dikeluarkan kelak.

"Baru-baru ini saya difahamkan Australia juga telah bersetuju mengeluarkan bajet baharu dalam operasi itu yang akan menggunakan peralatan lebih canggih. Kita bersetuju untuk berkongsi dalam kos yang akan dikeluarkan kelak.

"Malah, baru-baru ini Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Rahim Bakar juga telah ke Australia bagi berbincang usaha pencarian dalam fasa terbaharu itu," ujarnya.

Kira-kira 70,000 orang mengunjungi karnival berkenaan yang bermula 12 Jun lalu dan berakhir hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment