My Add

Monday 16 June 2014

TSMCG berjaya kumpul dana RM4.38 juta untuk kebajikan

 * MUHYIDDIN Yassin menerima sumbangan RM1 juta daripada Pengerusi Eksekutif WSJ International Group, Rashid Maidin (kiri) dalam Kejohanan Golf Amal Founders Cup di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, semalam. Turut kelihatan, Megat Najmudin Megat Khas. - BERNAMA
SHAH ALAM, AHAD 15 Jun, 2014: Yayasan Kebajikan Golf Tan Sri Muhyiddin (TSMCG) berjaya mengumpul dana berjumlah RM4.38 juta untuk disalurkan kepada aktiviti amal badan itu menerusi penganjuran Pertandingan Golf Amal Founders Cup yang diadakan di Glenmarie Golf and Country Club, di sini hari ini.

Dana yang diperoleh menerusi sumbangan syarikat-syarikat korporat dan agensi kerajaan itu diterima yayasan berkenaan yang mana akan turut disalurkan untuk membantu serta membangunkan bakat-bakat baharu dari kalangan generasi muda yang berpotensi dalam bidang sukan khususnya permainan golf.

Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di sini yang turut dihadiri Presiden TSMCG, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir menyertai pertandingan golf amal berkenaan bersama-sama Muhyiddin.

Sementara itu, Megat Najmuddin ketika berucap dalam majlis berkenaan melahirkan penghargaan kepada peserta yang terlibat dalam pertandingan golf amal berkenaan khususnya kepada pihak yang sedia menyumbangkan dana untuk usaha murni yang dilaksanakan oleh yayasan itu sejak diwujudkan kira-kira 12 tahun lalu.

"Kita telah meletakkan batu asas dalam usaha kebajikan dan pembangunan sukan sejak yayasan ini ditubuhkan sejak 12 tahun lalu. Sumbangan seumpama ini merupakan satu usaha yang amat besar agar hasrat dan usaha yayasan ini dapat diteruskan pada masa-masa depan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment