My Add

Sunday 15 June 2014

Soal rombakan kabinet hak PM - Hasan

KUALA LUMPUR, SABTU 14 Jun, 2014: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan kedudukannya dalam rombakan Kabinet yang dikatakan akan diumumkan tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, Perdana Menteri berhak untuk menentukan perkara berkenaan dan akan menerima sebarang keputusan yang diambil oleh beliau dengan hati terbuka.

‘’Soal rombakan adalah hak Perdana Menteri. Bagi saya adalah mudah, selagi kepercayaan diberikan untuk saya memimpin kementerian ini, saya akan laksanakan bersama timbalan dan pegawai yang ada. Tiada masalah,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2014 (FIM 2014) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau ditanya mengenai khabar angin perubahan Kabinet yang dikatakan turut melibatkan kedudukannya sebagai menteri.

Sebuah akhbar baru-baru ini melaporkan mengenai spekulasi perubahan Kabinet itu berikutan persetujuan parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA untuk menyertai semula barisan Kabinet dan kemenangan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment