My Add

Wednesday 18 June 2014

Tentera Iraq pertahan Baquba

 * SEKUMPULAN penduduk menjulang senjata di bandar Najaf, selatan Iraq kelmarin sebagai isyarat bahawa mereka bersedia menyertai pasukan keselamatan Iraq memerangi militan ISIL.
BAGHAD, SELASA 17 Jun, 2014: Sejumlah warga Iraq terbunuh dalam pertempuran untuk menguasai ibu negeri wilayah Diyala, Baquba semalam manakala pertempuran turut menyebabkan sebuah loji penapisan minyak utama di negara itu terpaksa ditutup.

Pertempuran tersebut antara militan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (ISIL) dengan tentera kerajaan Iraq.

Militan ISIL berjuang untuk menubuhkan sebuah kerajaan khalifah Islam di Iraq dan Syria sekali gus mengancam kewujudan negara Iraq.

Dalam perkembangan berkaitan tentera kerajaan menyatakan, pihaknya mematahkan satu percubaan oleh ISIL untuk menawan bandar Baquda di utara kota raya ini selepas kedua-dua pihak bertempur selama semalaman.

Beberapa pegawai dan penduduk Baquba memberitahu, antara mereka yang terkorban termasuk berpuluh-puluh banduan di sebuah penjara di bandar itu.

Militan ISIL melancarkan pemberontakan mereka dengan menawan bandar utama di utara Iraq, Mosul pada minggu lalu dan mara menyeberangi lembah Sungai Tigris menuju ke bandar raya ini.

Kumpulan militan tersebut turut mengaku membunuh beratus-ratus askar Iraq yang ditawan sepanjang kemaraan mereka.

Militan ISIL kemudian disertai oleh beberapa kumpulan penentang lain di Iraq termasuk bekas pejuang yang menggulingkan diktator Iraq, Saddam Hussein.

Mereka yang terdiri daripada puak-puak minoriti menyokong ISIL kerana mendakwa ditindas oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Nuri al-Maliki yang berfahaman Syiah.

Sebelum ini, negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) menggesa Maliki supaya berdamai dengan puak-puak minoriti tersebut bagi mengelakkan perpecahan Iraq.

Namun, Perdana Menteri berkenaan berkeras akan mematahkan pemberontakan tersebut dan melabelkan mereka yang menentangnya sebagai pembelot.

Malah, beliau menyalahkan Arab Saudi semalam kerana menggalakkan pembunuhan beramai-ramai di Iraq dengan menyokong ISIL.

Terdahulu, Presiden AS, Barack Obama turut menimbang melaksanakan tindakan ketenteraan termasuk melancarkan serangan udara bagi mengekang kemaraan ISIL.

Namun, pentadbiran Obama menolak menghantar tentera AS ke Iraq.

"Presiden Obama akan terus berbincang dengan pasukan penasihat keselamatan berhubung krisis di Iraq," kata White House dalam satu kenyataan kelmarin tanpa mengulas lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pegawai mengesahkan loji penapis minyak Baiji di utara kota raya ini terpaksa ditutup, manakala sejumlah pekerja warga asing turut dipindahkan.

Namun, tentera kerajaan masih menguasai loji itu.

Penutupan loji itu menyebabkan beberapa bandar di Iraq terputus bekalan bahan api untuk menjana janakuasa elektrik dan mengepam air kepada penduduk.

Loji tersebut kini dikawal pasukan tentera elit, manakala sebuah bandar berdekatan loji tersebut jatuh ke tangan ISIL pada minggu lalu. - Reuters/UTUSAN

No comments:

Post a Comment