My Add

Sunday 15 June 2014

Terus misteri selepas 100 hari

KUALA LUMPUR, SABTU 14 Jun, 2014: Selepas lebih 100 hari misteri kehilangan pesawat MH370, sehingga kini tidak ada satu bukti penemuan yang boleh dikaitkan dengan pesawat itu.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu masih gagal dikesan walaupun penerbangannya disahkan berakhir di Lautan Hindi.

Gerakan mencari melibatkan 26 buah negara bermula di Laut China Selatan seterusnya ke Selat Melaka dan Laut Andaman serta diperluaskan ke perairan di barat Australia di selatan Lautan Hindi selepas pesawat yang menuju ke Beijing itu hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu.

Berdasarkan rumusan hasil analisis data satelit, sukar untuk sesiapa terselamat kerana kedudukan terakhir pesawat di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi itu, tiada kawasan untuk pesawat mendarat.

Kenderaan mini dalam air automatik (AUV) Bluefin-21 dengan sistem sonar dasar laut dikerahkan dari kapal Australia, Ocean Shield bagi menjalankan operasi pencarian selain aset-aset pesawat dan kapal turut membantu.

Radar tentera ada mengesan pesawat terbang merentas Semenanjung Malaysia pada malam kehilangan pesawat itu tetapi pada ketika itu tidak diketahui sama ada ia adalah MH370. Oleh itu tiada pesawat dihantar untuk menyiasat kerana dianggap bukan ancaman kerana ia bergerak seperti penerbangan komersial lain yang mengikuti laluan penerbangan biasa.

Pasukan Penyiasatan Antarabangsa ditubuhkan untuk menilai, menyiasat dan memastikan punca sebenar insiden bagi mengelak kejadian sama daripada berulang pada masa depan.

Pasukan itu dianggotai wakil bertauliah dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat; Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB) United Kingdom; Jabatan Penyiasatan Kemalangan Udara China, Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC); Bureau d’EnquĂȘtes et d’Analyses (BEA) Perancis; Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dan wakil negara ASEAN dari Singapura dan Indonesia.

Semakin mengelirukan, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) pada awal bulan ini menyatakan bahawa kawasan pencarian pesawat MH370 di Lautan Hindi yang disahkan pada 24 Mac lalu berakhir di kawasan itu diisytihar sebagai bukan kawasan pesawat itu hilang.

JACC yang berpejabat di Australia menyatakan bahawa ia telah menyelesaikan pencariannya di Lautan Hindi berdasarkan empat isyarat ping dipercayai daripada kotak hitam dan pusat penyelarasan itu telah mengetepikan zon itu sebagai tempat bersemadinya pesawat MH370.

Walau bagaimanapun, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan kawasan pencarian akan diperluas, tetapi kekal di Koridor Selatan, dengan menggunakan apa jua kepakaran yang ada kerana lokasi berkenaan tidak dipertikai dan tidak dinafikan oleh mana-mana pihak.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mengeluarkan tender terbuka bagi mengendalikan pencarian dasar laut untuk mengesan pesawat MH370 mulai Ogos tahun ini.

Biro itu dalam kenyataan akhbar berkata, syarikat yang pakar akan diambil sebagai kontraktor utama di bawah arahan ATSB bagi melaksanakan pencarian berkenaan yang dijangka mengambil masa selama 12 bulan bergantung kepada keadaan cuaca.

Walaupun pelbagai spekulasi timbul sejak hari pertama kehilangannya, namun kerajaan Malaysia optimis operasi mencari dan menyelamat tetap akan diteruskan walaupun telah menanggung kos sebanyak RM27.6 juta sebagai kos keperluan logistik anggota keselamatan negara dalam fasa pertama pencarian pesawat MH370.

Selagi belum menemui apa-apa petanda, usaha pencarian pesawat yang hilang sejak akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dengan bantuan negara-negara seperti China dan Australia sekali gus mampu menangkis dakwaan konspirasi geopolitik yang mahu melaga-lagakan antara tiga negara itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment