My Add

Wednesday 4 June 2014

Tiada keraguan pencarian MH370 di Lautan Hindi

KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di koridor selatan Lautan Hindi adalah lokasi yang tepat dan telah disahkan oleh pakar-pakar seluruh dunia.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tidak timbul keraguan terhadap operasi mencari pesawat tersebut yang penerbangannya disahkan berakhir di situ, cuma kesukaran dialami pasukan mencari disebabkan kawasan pencarian terlalu luas.

Menurut beliau, kegagalan mencari kotak hitam pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu turut menyumbang kepada kesukaran tersebut, justeru pakar yang terlibat bergantung sepenuhnya kepada hasil pemetaan bentuk muka bumi dasar laut dan masih mencari pendekatan baharu untuk merungkai misteri kehilangan berkenaan.

``Tidak ada keraguan bahawa koridor selatan adalah tumpuan kita, cuma kawasannya luas, maka pakar dari China, Amerika Syarikat (AS), Malaysia, United Kingdom (UK) dan negara-negara Eropah masih mencari lokasi tepat penerbangan pesawat itu berakhir.

``Lokasi yang kita cari berdasarkan isyarat ping yang diperoleh kapal Australia, Ocean Shield tapi kalau kita tidak jumpa kotak hitam, maka kena guna kepakaran yang ada untuk kenal pasti lokasi baharu,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengetuai mesyuarat berhubung operasi pencarian MH370 melibatkan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Hotel Royale Chulan di sini.

Persoalan tentang lokasi terakhir MH370 timbul selepas Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang mengetuai pencarian seperti dilaporkan media baru-baru ini percaya bahawa Lautan Hindi bukanlah lokasi sebenar kapal terbang itu berakhir.

Menurut JACC, perkara itu disahkan selepas operasi di lokasi pencarian menggunakan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 yang telah ditamatkan, tidak menemukan apa-apa yang berkaitan dengan MH370. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment