My Add

Tuesday 10 June 2014

Tiga langkah liberalisasi pelaburan

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED dan FADZIL ZAINOL

 * NAJIB Tun Razak menjawab pertanyaan bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers Malaysia, Datuk Seri Johan Raslan selaku moderator sesi dialog bersama Perdana Menteri sempena Persidangan Invest Malaysia 2014 di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
KUALA LUMPUR, ISNIN 09 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tiga langkah liberalisasi untuk menggalakkan pelaburan dalam spektrum aset yang meluas dan membolehkan pasaran bon tempatan menjadi lebih menguntungkan dari segi kos selain sebagai platform kewangan jangka panjang yang menarik.

Menurut Perdana Menteri, langkah yang pertama adalah memansuhkan syarat mandatori penarafan kredit berkuat kuasa pada 1 Januari 2017.

Jelasnya, pemansuhan tersebut mampu meluaskan lagi pasaran bon korporat serta membolehkan pelabur meningkatkan lagi kepelbagaian portfolio masing-masing.

"Pendekatan berperingkat ini diguna pakai bagi memberi pemain industri masa yang mencukupi untuk memperhalusi mekanisme yang perlu supaya mampu beroperasi di bawah langkah baharu terbabit.

"Bermula 1 Januari depan, kelonggaran akan diberikan berkaitan dengan penarafan kredit selain keupayaan perdagangan bon serta sukuk yang tidak dikelaskan," katanya dalam ucaptama sempena Persidangan Invest Malaysia 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Pengerusi Bursa Malaysia, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan meliberalisasikan pemegangan ekuiti bagi agensi penarafan kredit manakala agensi penarafan kredit antarabangsa dengan pemilikan penuh asing akan dibenarkan beroperasi di pasaran Malaysia mulai 1 Januari 2017.

Kata beliau, kemasukan agensi bertaraf antarabangsa itu diyakini mampu meningkatkan kualiti dan taraf perkhidmatan penarafan termasuk memperkenalkan struktur kadar fi yang berdaya saing serta meluaskan kepakaran perkhidmatan penarafan kredit.

Selain itu, katanya, memegang kepada semangat Komuniti Ekonomi ASEAN terutama dalam menggalakkan persaingan industri unit amanah, pemegangan ekuiti untuk syarikat pengurusan unit amanah juga akan diliberalisasikan.

"Berkuat kuasa serta-merta, perbadanan asing dibenarkan memiliki 100 peratus saham dalam syarikat pengurusan unit amanah dan tiada halangan untuk syarikat pengurusan unit amanah asing baharu memasuki pasaran tempatan. Kita yakin langkah ini akan meningkatkan lagi persaingan dalam sektor terbabit.

"Lagipun, Suruhanjaya Sekuriti bersama badan profesional dan pihak berkepentingan lain sedang meneroka peluang untuk meningkatkan kualiti maklumat yang sedia ada dalam pasaran modal. Salah satu pilihan yang sedang dipertimbangkan ialah memperkenalkan laporan yang bersepadu, satu pendekatan yang sudah diguna pakai oleh syarikat multinasional," tambahnya.

Beliau memberitahu, melalui pendekatan-pendekatan berkenaan, kerajaan meletakkan sasaran untuk memperkukuhkan pasaran modal tempatan, supaya dapat berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan jangka panjang bagi domestik dan serantau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment