My Add

Saturday 14 June 2014

Tiga suspek militan ditahan

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

 * PASUKAN Polis Bahagian Counter Terrorism menyerbu sebuah rumah di Sandakan untuk menahan orang kanan kumpulan militan.
KUALA LUMPUR, JUMAAT 13 Jun, 2014: Tiga rakyat tempatan termasuk seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan di Sandakan, Sabah hari ini kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan militan yang dipercayai mahu berperang di negara-negara bergolak.

Tiga lelaki yang berusia antara 29 hingga 31 tahun itu ditangkap dalam satu operasi yang dilakukan sepasukan pegawai polis Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman dalam dua serbuan pada pukul 6.45 pagi dan 2 petang.

Sumber keselamatan memberitahu, salah seorang suspek yang berusia 30 tahun dan orang penting dalam kumpulan militan baharu itu telah menjalinkan kerjasama dengan militan Selatan Filipina, Abu Sayyaf.

Katanya, lelaki yang berasal dari Perak itu merupakan orang nombor dua kumpulan berkenaan dan sejak 22 April lalu dia telah ke Selatan Filipina untuk melakukan latihan ketenteraan di kem Abu Sayyaf.

"Suspek utama yang ditahan ini merupakan individu yang bertanggungjawab untuk merekrut rakyat tempatan menyertai kumpulan tersebut dan memberi latihan kepada setiap ahli.

"Oleh demikian, dia telah ke kem Abu Sayyaf untuk menjalani latihan ala tentera dan mengikut perancangan kumpulan, dia akan pulang ke Malaysia untuk memberi latihan kepada ahli-ahli kumpulan yang lain.

"Bagaimanapun perancangan itu terbantut apabila pasukan Bahagian Counter Terrorism berjaya menumpaskan kumpulan berkenaan dan menahan 12 ahlinya bermula 28 April lalu.

"Keadaan itu menyebabkan dia terkandas di Selatan Filipina dan dipercayai takut untuk kembali semula ke negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sumber memberitahu, suspek menyusup masuk ke negara ini menggunakan bot dengan bantuan daripada adiknya yang berusia 29 tahun serta seorang anggota TLDM.

"Adik suspek difahamkan berkahwin dengan orang Sabah dan dia dipercayai menguruskan kemasukan dan tempat persembunyian abangnya itu.

"Manakala anggota TLDM yang berusia 31 tahun itu pula dipercayai berperanan memberi maklumat tentang setiap operasi yang dijalankan di lautan oleh pihak berkuasa," katanya.

Pada 28 April lepas, sembilan individu dipercayai terlibat dengan kegiatan militan ditahan Polis Bahagian Counter Terrorism. Beberapa siri tangkapan lain dilakukan beberapa hari kemudian.

Malah, Utusan Malaysia secara eksklusif baru-baru melaporkan, seorang pekerja kilang Ahmad Tarmimi Maliki, 26, maut menjadi pengebom berani mati pertama selepas terkorban ketika membuat serangan di Ibu Pejabat Skuad Emas Pasukan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) di daerah Al-Anbar, Iraq pada 26 Mei lalu.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin dalam satu kenyataan kepada media mengesahkan tentang penahanan tersebut dan memberitahu, tangkapan itu adalah susulan daripada operasi ke atas anasir militan sejak 28 April lalu.

"Salah seorang yang ditahan merupakan anggota kanan militan yang disyaki menjalani latihan ketenteraan di kem milik Abu Sayyaf di Selatan Filipina, sejak 22 April lalu.

"Suspek menyusup masuk ke negara sendiri pada 11 Jun lalu dan bersembunyi di sebuah rumah di Sandakan," katanya,

Tambahnya, dua lagi suspek termasuk anggota TLDM yang bertugas di daerah itu ditangkap kerana disyaki membantu dan melindungi suspek utama menyusup masuk.

Kata Mohd. Bakri, kesemua yang ditangkap ini disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan mengikut Akta 574 Kanun Keseksaan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kes Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment