My Add

Saturday 14 June 2014

Latihan fizikal polis obes

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
 
 MUSA HASSAN
KUALA LUMPUR, JUMAAT 13 Jun, 2014: Latihan fizikal semula untuk tempoh masa tertentu adalah langkah terbaik disertai setiap anggota polis yang mengalami masalah berat badan berlebihan untuk mengelakkan mereka mengalami obesiti dan terdedah kepada penyakit ‘tiga serangkai’ iaitu jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau pernah mewajibkan latihan berkenaan dijalankan selama satu minggu ketika mengetuai badan beruniform itu untuk memastikan setiap anggotanya sentiasa cergas dan dapat menjalankan tugas dengan sempurna.

Menurut beliau, latihan berterusan dan penjagaan kesihatan sangat penting memandangkan anggota polis terdedah kepada tugasan selama 24 jam sehingga segelintir daripadanya tidak dapat mengawal tahap pemakanan harian.

"Polis memang kena sentiasa menjaga kesihatan kalau tidak susah untuk bekerja. Masa saya dulu, mana-mana pegawai yang terlampau berat badan atau gemuk akan dihantar menjalani latihan semula sekurang-kurangnya selama seminggu.

"Yang sudah berumur pun kena jaga kesihatan, jangan makan berlebihan sebab polis kadang-kadang tidak tidur malam menyebabkan mereka makan lebih jadi semua itu kenalah jaga," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun seperti dilaporkan Utusan Malaysia berhubung masalah obesiti yang dialami ramai anggota keselamatan itu sehingga menyebabkan secara purata 32 polis mati setiap bulan tahun ini akibat penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya memandang serius masalah tersebut dan menekankan pelaksanaan aktiviti riadah yang sememangnya diwajibkan terhadap semua anggota pada setiap hari Jumaat bagi mengatasi masalah kesihatan.

Kelmarin, Mohamad Fuzi turut memberikan amaran tegas kepada setiap anggota PDRM yang mengalami masalah obesiti bahawa peluang mereka untuk kenaikan pangkat akan terjejas.

Sementara itu, Musa berkata, latihan yang perlu dijalani boleh dianggap sebagai penstrukturan semula kursus yang pernah dilalui setiap setiap anggota polis namun kali ini tahapnya lebih ringan.

"Tujuan utama latihan semula hanyalah untuk mengurangkan berat badan jadi ini lebih tertumpu kepada latihan fizikal sahaja dan pada masa sama mereka mungkin boleh belajar semula undang-undang seperti ketika baru memasuki kem latihan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment