My Add

Friday 13 June 2014

Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa perkenal kategori hafazan

KUALA LUMPUR, JUMAAT 13 Jun, 2014: Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa buat pertama kalinya memperkenalkan kategori hafazan pada majlis yang berlangsung selama lima hari mulai Isnin ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, sebanyak 27 negara dijemput bagi kategori hafazan, kebanyakannya dari Asia Barat dan Afrika.

Malaysia diwakili johan lelaki dan wanita kategori 30 Juzuk Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-35 iaitu Mohd. Ersyad Abdullah dari Kedah dan Norhaafizah Mohd. Shafie dari Selangor, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi kategori tilawah, sebanyak 29 negara dijemput menyertainya manakala 20 lagi dijemput secara pilihan terbuka dan boleh memilih sama ada mengambil bahagian dalam tilawah atau hafazan.

Bagi kategori tilawah, Malaysia diwakili johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-57 iaitu Ahmad Tarmizi Ali dari Terengganu dan Hanimzah Jalaluddin dari Pahang, katanya.

Secara keseluruhan, kategori tilawah membabitkan 38 peserta manakala hafazan 30 peserta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment