My Add

Tuesday 3 June 2014

Tingkatkan kerjasama antara negara

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 * AHMAD Zahid Hamidi yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalam sambil berbual dengan Naib Pengerusi Lembaga Pengarah Centre For Strategic And International Studies (CSIS) Indonesia, Clara Joewono sambil diperhati Mohamed Jawhar Hassan (kiri) pada majlis Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-28 di Kuala Lumpur, semalam
KUALA LUMPUR, ISNIN 02 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, amalan kerjasama dalam kalangan negara-negara di rantau ini perlu dikekalkan dan ditingkatkan meliputi pelbagai isu dan bukan hanya terhad kepada operasi keselamatan.

Menurut Perdana Menteri, meng­ambil contoh kerjasama 26 buah negara dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, perkara itu sebenarnya mencerminkan wujudnya kerjasama baik sesama negara.

Malah kata beliau, aspek keselamatan di rantau ini amat bergantung kepada kemampuan pelbagai negara untuk terus mengeratkan rangkaian kerjasama.

"Asasnya sudah ada. Seterusnya boleh diperkukuhkan melalui pembinaan institusi, peraturan dan nilai-nilai yang boleh diterima semua. Contohnya, dalam kita memerangi ancaman keganasan, ini memerlukan perkongsian risikan dan penyelarasan antara agensi kese­lamatan kita.

"Ini dapat dilihat ketika Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang rakyat asing yang disyaki terlibat merancang serangan di India baru-baru ini. Maklumat polis itu membolehkan pihak berkuasa India menahan tiga lagi suspek. Kejadian ini sekali lagi menunjukkan pentingnya kerjasama antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-28 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir Pengerusi ISIS Malaysia, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan.

Najib memberitahu, demi mengekalkan keselamatan bersama, rantau ini dan dunia perlu sentiasa berwaspada terhadap apa jua bentuk ancaman.

Atas dasar itu tegasnya, Malaysia tetap dengan pendirian dan penegasan kepada pegangan 'dunia tanpa ancaman nuklear'.

"Seperti yang kita perjuangkan itu, Malaysia mendesak negara-negara yang membangunkan senjata nuklear supaya mematuhi protokol Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara.

"Malaysia juga memainkan peranan mencegah perkembangan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) melalui Inisiatif Keselamatan Penularan Senjata (PSI). Oleh yang demikian, kita juga akan bersama membina dunia yang anak-anak kita kekal selamat daripada ancaman, khususnya ancaman WMD," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hak-hak sebuah negara terutama dalam aspek pertahanan dan keselamatan perlu diiktiraf, tetapi tidak pula sehingga perkara itu mengancam keselamatan negara lain. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment