My Add

Thursday 19 June 2014

Tukang jahit dihukum gantung

 * ZARUNA Yusof dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar dadah di Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSAN/IRWAN MAJID
KOTA BHARU, RABU 18 Jun, 2014: Seorang tukang jahit wanita menangis teresakesak apabila dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 54.72 gram, tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian terhadap Zaruna Yusof, 43, setelah mendapati pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah sekali gus menunjukkan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes ke atas wanita itu.

Zaruna dari Rantau Panjang di sini yang memakai baju kurung berwarna biru dan bertudung hitam didakwa mengedar heroin seberat 54.72 gram di pekarangan tempat letak kereta berhampiran tandas awam di Stadium Sultan Muhammad IV, Jalan Bayam, di sini pada pukul 1.35 petang, 21 Januari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian itu, Zaruna ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Narkotik Kota Bharu yang kemudiannya melakukan pemeriksaan terhadap sebuah beg berjenama Swiss Polo yang disandang wanita terbabit.

Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan tujuh botol plastik lutsinar bertudung kuning berisi serbuk putih disyaki dadah.

Menurut tertuduh dalam pembelaannya sebelum ini, dia tidak membawa sebarang beg tangan ketika keluar dari rumah, sebaliknya hanya membawa dompet dan telefon bimbit.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati barangbarang yang terkandung dalam beg sandang berkenaan seperti dokumen serta alat solek tidak menjurus kepada milik orang lain kecuali milik tertuduh sendiri.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dalina Ali. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment