My Add

Thursday 19 June 2014

Pengurusan kes Anwar saman UMMB 22 Ogos

KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 22 Ogos ini pengurusan kes saman fitnah RM100 juta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) berhubung isu pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu, Sabah.

Tarikh itu ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop di kamar hakim hari ini.

Peguam Muhammad Asmirul Asraf Fadli yang mewakili UMMB memberitahu pemberita, pada tarikh tersebut pihak-pihak yang terlibat dalam kes itu perlu memaklumkan status rayuan syarikat akhbar berkenaan terhadap keputusan Rosilah pada 18 April lalu yang menolak permohonannya supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes saman tersebut.

Rayuan itu akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 20 Ogos ini bersama kes saman fitnah RM100 juta oleh Anwar terhadap bekas rakan baiknya, Datuk S. Nallakaruppan dan UMMB atas dakwaan mengaitkannya dengan aktiviti biseksual.

UMMB memohon Rosilah menarik diri atas alasan bimbang timbulnya unsur berat sebelah ketika mendengar kes tersebut kelak memandangkan beliau dalam penghakimannya berhubung satu kes saman lain pada 19 Februari lalu berpendapat Anwar merupakan pemimpin dan ahli politik yang terkenal di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa, berperwatakan dan repu­tasi baik namun telah difitnah oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pula mengemukakan rayuan berhubung keputusan Rosilah yang membenarkan permohonan UMMB untuk mengetepikan peguam N. Surendran daripada mewakili Anwar dalam kes saman fitnah itu.

Rosilah pada 8 April lalu, membuat keputusan itu selepas mengambil kira kedudukan Surendran sebagai Naib Presiden PKR bertentangan dengan Perkara 5 Akta Profesion Undang-undang (LPA) 1976.

UMMB pula turut merayu terhadap keputusan Rosilah menolak permohonan syarikat akhbar tersebut supaya peguam R. Sivarasa dan firma guaman, Tetuan Daim & Gamany dihalang daripada mewakili Anwar.

Menurut Muhammad Asmirul Asraf, kedua-dua rayuan akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 1 Oktober ini.

Pada 28 Mei lalu, salah seorang panel hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azahar Mohamad menarik diri daripada mendengar rayuan itu memandangkan pada 8 Ogos 2000, beliau merupakan salah seorang Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan pendakwaan terhadap Anwar yang dihukum penjara sembilan tahun setelah didapati bersalah meliwat Azizan Abu Bakar.

Dalam saman yang difailkan pada 8 Mac tahun lalu, selain UMMB dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Anwar turut menamakan TV3; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd., Datuk Shaharudin Abd. Latif; dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar menyatakan, Utusan Malaysia bertarikh 2 Mac 2013 di muka hadapannya, menyiarkan artikel bertajuk ‘Ketua Pembangkang dikaitkan dengan penceroboh­an?’ dan di muka surat sembilan pula bertajuk ‘Tiga kumpulan jadi dalang.’

Ketua Pembangkang itu menyatakan, defendan ketiga hingga kelima, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama, TV3 turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa berita di rangkai­an televisyen swasta itu adalah berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan oleh defendan pertama dan kedua. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment