My Add

Wednesday 11 June 2014

Umat Islam perlu yakin dengan Jakim dan KKM tangani isu vaksin - Imam

KUALA LUMPUR, RABU 11 Jun, 2014: Umat Islam di negara ini perlu yakin dengan keupayaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menentukan hukum pengambilan suntikan vaksin.

Anggota Jawatankuasa Kerja Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) Dr. Ahmad Faidhi Mohd. Zaini berkata, pihak autoriti itu mempunyai kredibiliti dan tanggungjawab menapis, mengawal serta menguruskan isu berkaitan halal atau haram berhubung pengambilan sesuatu makanan dan ubat-ubatan.

``Soal halal atau haram ini, selaku umat Islam di Malaysia kita perlu bersangka baik dan kita bernasib baik sebab ada autoriti seperti KKM dan Jakim yang menapis isu sebegini dan sepatutnya kita perlu percaya kepada mereka (KKM dan Jakim).

``Dari sudut Islam mereka (KKM dan Jakim) ini adalah sebagai `Ulul-Amri' iaitu apa sahaja yang mereka buat adalah untuk kebaikan umat Islam keseluruhan,'' katanya ketika menjadi tetamu program bicarawara Ala Carte Pagi terbitan Bernama Radio24 bertajuk `Fiqh Perubatan' di sini hari ini.

Sehubungan itu, Dr. Ahmad Faidhi berkata, umat Islam tidak perlu terlampau bimbang tentang status halal pengambilan vaksin kerana Jakim dan KKM sudah dipertanggungjawab terhadap bahan yang terkandung dalam vaksin berkenaan untuk disahkan selamat bagi penggunaan umat Islam.

``Hukum halal, haramnya, tanggungjawab itu secara umum terletak kepada mereka (KKM dan Jakim). Kita tiada usul untuk periksa halal, haram ini...kalau ada apa-apa mereka akan dipertanggungjawabkan,'' katanya.

Beliau berkata, isu halal atau haram vaksin tidak akan selesai sehingga ada pengilang yang terdiri daripada Ahli Farmasi muslim bagi menghasilkan vaksin pada masa hadapan.

KKM dan Jakim pernah mengeluarkan kenyataan bersama berhubung keraguan umat Islam terhadap suntikan vaksin ekoran sumbernya adalah daripada binatang.

KKM mengesahkan semua vaksin yang digunakannya adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah manakala Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan hukumnya adalah harus bagi umat Islam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment