My Add

Thursday 29 December 2011

Bank Rakyat juara hadiah Bulan Bahasa

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Disember, 2011: Bank Rakyat muncul juara Hadiah Bahasa Institusi Perbankan bagi kategori Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) buat tahun ketiga berturut-turut sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2011.

Penolong Pengurus Besar Perancangan Strategik Bank Rakyat, Razin Murat berkata, kejayaan tersebut mencerminkan Bank Rakyat sentiasa menitik beratkan kepada warga kerjanya untuk berusaha menguasai bahasa kebangsaan dalam semua urusan.

"Pelbagai program telah dilaksanakan bagi menyahut agenda kerajaan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan sama ada di peringkat glokal mahu pun global.

"Pengiktirafan berturut-turut ini amat dihargai dan usaha menjadikan bahasa kebangsaan sebagai wahana komunikasi dalam institusi perbankan akan terus dilaksanakan dari masa ke masa," katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Bulan Kebangsaan 2011 di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini semalam.

Menurutnya, sebagai tanda sokongan Bulan Bahasa, Bank Rakyat turut menggalakkan kakitangan mengikuti sijil akreditasi yang dianjurkan DBP sebagai usaha memperkasakan bahasa kebangsaan tersebut ke dalam setiap pekerja.

"Galakan ini bertujuan meningkatkan keyakinan warga kerja dalam menggunakan bahasa kebangsaan bagi sebarang urusan selain usaha memangkin pembangunan bahasa Melayu itu sendiri.

"Kita turut menyediakan pegawai-pegawai bahasa yang dilantik untuk dijadikan tempat rujukan tentang penggunaan bahasa dengan betul termasuk mengadakan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan DBP dalam menganjurkan aktiviti kebahasaan seperti pertandingan pidato," ujarnya.

Tambah Rizan, usaha lain yang dilakukan ialah meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam penerbitan bahan publisiti seperti risalah, laporan tahunan, teks ucapan, papan tanda, laman web dan iklan serta dalam urusan perbankan harian dengan pelanggan.

Dalam pada itu, Public Bank diumum pemenang kategori Bank Perdagangan dan kategori Bank Islam menjadi milik Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, hadiah bahasa institusi perbankan tersebut bertujuan mengiktiraf dan menghargai perbankan yang menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul.

"Ia turut meliputi penilaian terhadap penggunaan bahasa itu ke dalam urusan mereka dengan pelanggan serta galakan penggunaan bahasa secara meluas dalam sektor perkhidmatan kewangan di negara ini.

"DBP bukan hanya fokus kepada institusi kewangan bahkan usaha memartabatkan bahasa Melayu turut dilakukan dalam industri lain seperti penyiaran, pentadbiran, pengiklanan dan perundangan," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment