My Add

Thursday 29 December 2011

Utamakan kepentingan awam

Oleh SAHBULAH DARWI
ALOR SETAR, KHAMIS, 29 Disember, 2011: Kerajaan Pas Kedah perlu menggunakan kaedah fiqh yang lebih menyeluruh iaitu mengutamakan 'maslahah ammah' atau kepentingan awam berhubung keputusannya mahu merobohkan Madrasah Salihiah di sini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kaedah 'istibdal' (wakaf gantian) terhadap tanah wakaf khas milik madrasah itu untuk meneruskan keputusannya.

"Walaupun beliau (Azizan) hendak 'istibdal' tanah wakaf khas itu tetapi beliau tidak boleh tolak kepentingan orang ramai yang menuntut madrasah itu dikekalkan.

"Pucuk pimpinan negeri perlu bijak kerana dalam pemerintahan, pokok pangkal dalam membuat keputusan adalah mengutamakan 'maslahah ammah'," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysiadi sini semalam.

Mashitah mengulas kenyataan Azizan baru-baru ini bahawa kerajaan negeri tetap dengan keputusan untuk merobohkan madrasah itu meskipun terdapat cadangan agar dilakukan pengubahsuaian terhadap pelan pembinaan kompleks beli-belah yang bakal dibina atas tapak tanah madrasah itu.

Azizan berkata, selaku graduan lulusan Universiti Al-Azhar, beliau tahu mengenai hukum hakam dan keputusan untuk membenarkan pengambilan tapak serta bangunan madrasah berstatus wakaf khas berkenaan dibuat hanya selepas mendapat kelulusan Majlis Fatwa Negeri.

Mashitah berkata, kerajaan negeri yang bijak sepatutnya memberi perhatian kepada tuntutan rakyat dan membuat keputusan yang memihak kepada orang awam.

"Kita tidak nafikan kepakaran yang ada pada kerajaan negeri tetapi tuntutan rakyat tidak boleh ditolak.

"Di sini kita boleh lihat bagaimana corak pemerintahan Pas yang tidak memihak kepada kepentingan rakyat," katanya sambil menambah isu tersebut bukan soal kepartian tetapi soal memelihara syiar Islam.

Sementara itu, Bendahari dan Pemegang Amanah Tanah Wakaf madrasah itu, Fadzil Ishak, 61, berkata, seluruh ahli Jawatankuasa Kariah Madrasah Salihiah menolak pelaksanaan 'istibdal' ke atas tanah wakaf khas madrasah itu bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks beli-belah.

Menurutnya, 'istibdal' hanya boleh digunakan jika sesuatu tanah wakaf khas itu luput seluruh manfaatnya, sedangkan madrasah tersebut masih dimanfaatkan dengan baik oleh masyarakat Islam.

"Ini adalah perkara yang amat negatif jika kerajaan negeri mahu teruskan keputusannya kerana ia mengabaikan syiar Islam. Surau ini masih digunakan oleh jemaah dan kajian kerajaan negeri tidak mendalam," katanya.

Fadzil berkata, ahli-ahli jawatankuasa madrasah itu dikejutkan dengan kehadiran lima lelaki dipercayai daripada agensi kerajaan negeri dan pejabat tanah Alor Setar yang membuat tinjauan di sekitar madrasah itu kira-kira pukul 9 pagi ini.

Katanya, lelaki-lelaki yang menaiki tiga buah kereta itu beredar selepas hampir satu jam membuat tinjauan tanpa mengadakan rundingan dengan pihak madrasah. - UM

No comments:

Post a Comment