Najib Tun Razak |
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Disember, 2011: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyenaraikan beberapa pencapaian positif yang telah dicapai kerajaan sepanjang tahun ini dengan komitmen untuk terus mendengar serta peka terhadap keperluan rakyat.
Perdana Menteri berkata, atas keprihatinan terhadap komitmen itu, kerajaan telah melancarkan pelbagai program untuk rakyat seperti Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) bagi membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah mereka sendiri.
Jelasnya, dalam menangani isu inflasi dan kenaikan kos sara hidup pula, kerajaan mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang baru dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) iaitu menangani kos sara hidup yang kian meningkat.
"Isu kenaikan kos juga ditangani dengan pelancaran Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) diikuti Menu Rakyat 1Malaysia. Menyedari keperluan untuk menggalakkan pembangunan generasi muda Malaysia, Dana Belia 1Malaysia telah dilancarkan bagi membiayai idea-idea dan projek golongan belia.
"Banyak lagi program yang telah diumumkan dalam Bajet 2012 yang tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah, kawasan luar bandar, belia dan perkhidmatan awam.
"Salah satu daripadanya ialah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), satu program bantuan kewangan untuk rakyat Malaysia yang tinggal dalam isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri berjudul 'Imbasan 2011' menerusi blognya,http://www.1malaysia.com.my.
Najib berkata, menerusi bidang ekonomi, mengikut laporan kemudahan menjalankan perniagaan 2011 oleh Bank Dunia, Malaysia telah tersenarai di kedudukan 20 teratas dan berkongsi kedudukan pertama di dunia dari segi kemudahan mendapatkan pinjaman perniagaan.
"Ini menunjukkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sudah mendatangkan hasil. Sewaktu pembentangan perkembangan ETP September lalu, sepanjang separuh pertama tahun ini, Malaysia telah menerima pelaburan langsung asing (FDI) sehingga RM21.3 bilion.
"Menjelang ulang tahun pertamanya pada Oktober, ETP telah membantu Malaysia mencapai pendapatan negara kasar (GNI) sebanyak RM228.55 bilion dan pelaburan komited bernilai RM171.21 bilion,'' ujarnya.
Bagi sektor hubungan antarabangsa pula, katanya, negara terus mengeratkan hubungan pasaran antarabangsa dan memperkukuh rangkaian perniagaan Malaysia untuk membantu memangkin program-program transformasi negara.
Secara peribadi, katanya, tahun ini beliau sendiri telah meneroka pelbagai cara untuk meningkatkan interaksi dengan rakyat melalui platform media sosial.
Januari lalu, jelasnya, orang ramai telah diundang untuk mengajukan soalan melalui Twitter dan Facebook miliknya yang menerima respons baik serta beberapa program seperti Mari Berjumpa, Mari Berhubung serta Meja Bulat 1Malaysia.
"Saya berjaya menjawab beberapa soalan yang diajukan termasuk yang pelik-pelik. Tahun ini merupakan tahun yang sungguh berwarna-warni bagi saya dan saya perlu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan.
"Harapan saya agar rakyat akan terus bersama-sama dengan saya untuk mencatat lebih banyak lagi kemajuan positif pada tahun hadapan dalam semangat dan amalan 1Malaysia,'' tambahnya. - UM
No comments:
Post a Comment