KOTA BAHARU, KHAMIS, 29 Disember, 2011: Istana Kelantan hari ini menjelaskan bahawa jawatan Penasihat Undang-undang Istana Kelantan tidak wujud.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Ahmad Mahmood, berkata laporan sebuah akhbar hari ini mengenai jawatan itu yang disandang oleh Datuk Sukri Mohamed adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai.
Beliau mengulas laporan akhbar itu bahawa Penasihat Undang-undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed, membuat laporan polis terhadap blog yang didakwa memfitnahnya terbabit dalam penipuan membabitkan jumlah jutaan ringgit.
Ahmad berkata, berdasarkan kepada Perkara 13(2)(b), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Pertama), Penasihat Undang-undang kepada Sultan Kelantan dan kerajaan Kelantan adalah individu yang sama iaitu Penasihat Undang-undang Negeri.
"Sukacita dimaklumkan bahawa tidak terdapat jawatan Penasihat Undang-undang Istana Kelantan dalam Waran Perjawatan Pejabat Sultan Kelantan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment