My Add

Thursday, 29 December 2011

Tiga pengarah syarikat pertanian didakwa perdaya 12 individu

SHAH ALAM, KHAMIS, 29 Disember, 2011: Tiga pengarah sebuah syarikat pertanian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya 12 individu membabitkan pelaburan projek ternakan ikan patin bernilai kira-kira RM1.1 juta. 

Johar Arifin Baki, 45, S.Suresh Kumar, 30, dan Auni Zafirah Abdul Rahim, 25, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Slamat Yahya.

Sebagai pengarah syarikat Premier Agro Sdn Bhd ketiga-tiga mereka didakwa bersama-sama memperdaya dengan niat menipu 12 pelabur individu dengan menawarkan skim ternakan benih ikan dalam sangkar menjajanjikan pulangan kepada pelaburan terbabit.

Pelabur terbabit sudah membayar wang pelaburan mereka yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Premier Reliance (M) Sdn Bhd. 

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis syarikat mereka yang mempunyai alamat perniagaan di No: 19, Jalan Kasuarina 7, Botanic Capital, Bandar Ambang Botanic, Klang dekat sini, antara 15 Mei 2009 dan 3 Julai 2010. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Slamat membenarkan ketiga-tiga tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM12,000 serta seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 1 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Mereka diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes itu selesai. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Shari'ah Abu sementara ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment