KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Disember, 2011: Bukit Aman kini bekerjasama dengan Kedutaan Korea Selatan di sini, bagi mengesan dua suspek dipercayai rakyat negara itu, berkaitan kes kehilangan seorang ahli perniagaan Korea Selatan sejak 31 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki suspek terbabit yang dipercayai sudah meninggalkan negara ini.
"Kemungkinan sekarang ini suspek sudah pulang ke negara asal (Korea), mungkin juga sudah lari ke mana-mana negara lain. Bantuan dari Kedutaan Korea dan pihak Interpol mampu membantu dalam menyelesaikan misteri kehilangan ahli perniagaan itu," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan berdasarkan maklumat sedia ada.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama, berkata kes itu masih disiasat mengikut Akta Orang Hilang.
Kim Chong Yong, 53, yang tinggal di negara ini sejak dua dekad lalu, dilihat kali terakhir di sebuah pusat hiburan di Desa Sri Hartamas antara jam 9 malam hingga 1 pagi pada 30 Oktober bersama seorang lelaki, sebelum dilapor hilang pada keesokannya.
Kehilangan Kim yang juga Timbalan Presiden Komuniti Sukan Korea Selatan di Malaysia, disedari oleh pengurus syarikatnya yang kemudian menghubungi keluarga lelaki itu di Korea.
Anak perempuan Kim kemudian datang ke negara ini dan membuat laporan polis selepas empat hari gagal menghubungi bapanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment