My Add

Thursday 29 December 2011

Rondaan awasi nelayan asing di kepulauan sekitar Terengganu

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 29 Disember, 2011: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) meningkatkan rondaan di sepanjang perairan di Terengganu pada musim tengkujuh sekarang memandangkan ramai nelayan asing berlindung berhampiran pulau-pulau di negeri itu pada musim ini. 

Ketua Penguatkuasa Maritim Terengganu, Kapten Adam Aziz, berkata langkah itu bertujuan mengelak nelayan-nelayan asing itu melakukan sesuatu yang tidak diingini.

"Kita mempunyai perjanjian diplomatik yang membenarkan nelayan asing ini berlindung berhampiran pulau jika keadaan laut bergelora. Namun, kadangkala kehadiran mereka terlalu ramai menyebabkan gangguan kepada penduduk di pulau terutama ketika mereka turun mendapatkan bekalan air dan sebagainya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Adam berkata, bahawa pada musim tengkujuh ini, APMM menggunakan tiga buah kapal dan tiga buah bot untuk penguatkuasaan di samping tugas-tugas mencari dan menyelamat. 

Katanya, kapal dan bot APMM itu berada di laut 24 jam untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan terutamanya pada musim tengkujuh ini . 

Adam menasihatkan nelayan terutama yang menggunakan bot kecil supaya berhati-hati pada musim ini kerana keadaan laut yang bergelora dan angin kencang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. 

Beliau berkata, dalam dua kejadian berasingan Khamis dan Sabtu lalu, sebuah bot nelayan di perairan Kemaman dan di Muara Kuala Besut karam dipukul ombak besar, namun tiada kemalangan jiwa berlaku. 

"Sepatutnya nelayan perlu mendapatkan maklumat mengenai keadaan laut sebelum keluar ke laut," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment