Pengerusi Perkasa Kota Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, perkara utama yang perlu dititikberatkan kini adalah bagaimana mahu menyelamatkan madrasah itu daripada dirobohkan.
"Kini yang penting adalah agenda ummah dan kita perlu meneutralkan pemikiran serta mempertahankan madrasah ini. Oleh itu, saya minta, Pemuda Pas lupakan soal politik dan tidak perlu membuat laporan polis mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas tindakan Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Alor Setar, Mohd. Azam Awang yang membuat laporan polis hari ini untuk menghalang perhimpunan yang akan diadakan Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) pada Sabtu ini.
Mohd. Azam ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kota Setar di sini berkata, perhimpunan BBSNS perlu dihalang kerana bercanggah dengan keputusan Majlis Fatwa Kedah yang membenarkan kaedah istibdal digunakan terhadap tanah wakaf khas madrasah itu.
Antara pengisian himpunan yang akan diadakan mulai 12 tengah hari hingga 5 petang itu adalah bantahan terhadap usaha merobohkan madrasah wakaf bagi dibina surau baru oleh pihak pemaju.
Menurut Mohd. Yusuf, penyatuan dalam mempertahankan Madrasah Salihiah itu sepatutnya menjadi agenda umat Islam di negeri itu.
"Kita bukan mahu tolak pembangunan namun Madrasah Salihiah ini dibina di atas tanah wakaf. Bayangkan kalau dirobohkan dan ada orang yang melakukan maksiat di situ," jelasnya. - UM
No comments:
Post a Comment