My Add

Thursday, 29 December 2011

PKMPP minta kerajaan tangguh pemberian lesen kelas F

GEORGETOWN, KHAMIS, 29 Disember, 2011: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pulau Pinang (PKMMPP) hari ini menggesa kerajaan pusat menangguhkan lagi pemberian lesen kontraktor kelas F yang dibekukan sejak Mac 2005. 

Yang Dipertua PKMPP, Datuk Mohamed Fadzill Hassan, berkata penangguhan itu adalah sebagai langkah untuk memastikan kontraktor kelas F sedia ada memperolehi projek dan tidak gulung tikar.

Setakat ini, katanya, terdapat 28,000 kontraktor yang berdaftar sebagai kelas F dan projek yang ada tidak mencukupi untuk diagihkan kepada semua kontraktor berkenaan.

"Daripada 40,000 kontraktor Bumiputera di seluruh negara, 28,000 atau 70 peratus daripadanya terdiri daripada kontraktor kelas F dan jika dikira dari jumlah itu, adalah tidak praktikal jika kerajaan membuka permohonan baru lesen kelas F," katanya kepada pemberita di sini. 

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Biro Kontraktor Kelas F Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) berkata, PKMPP menyambut baik jika kerajaan membuka semula pemberian lesen kelas F itu jika kerajaan berupaya menggubal dasar ekonomi yang lebih mantap dan mampu menawarkan lebih banyak projek. 

Mohamed Fadzill juga menggesa kerajaan membuat program pemutihan untuk mengenal pasti kontraktor kelas F tulen sebelum mengeluarkan semula lesen kelas kecil itu. 

"Sekarang ini, ramai orang tanpa mengira latar belakang mahu menjadi kontraktor sehingga terdapat di kalangan mereka yang tidak faham langsung cara kerja kontraktor sebenar tetapi mempunyai lesen kontraktor dan kerajaan sepatutnya mengawal perkara ini," katanya. 

Mohamed Fadzill berkata, segelintir kontraktor kelas F hanya melakukan kerja separuh jalan dan urusan pentadbiran kewangan dan audit diserahkan kepada orang lain dan ia menyebabkan kontraktor Bumiputera itu tidak berdaya saing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment