KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Disember, 2011: Lelaki yang kini diburu polis bagi membantu siasatan kes seorang kerani bank yang mati dengan lebih 15 kesan tikaman pada 21 Disember lepas, adalah teman serumah mangsa.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP, Abdul Rahim Abdullah berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu juga dipercayai teman lelaki mangsa.
"Kini kita giat mengesan lelaki terbabit bagi membantu menyelesaikan kes ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Abdul Rahim juga berkata, lelaki berkenaan dipercayai masih berada di dalam negara.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah memberitahu pemberita pihaknya telah mengenal pasti seorang lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan kes pembunuhan Rozana Mohd Yusak.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas motif serta hubungan lelaki itu dengan mangsa.
Dalam kejadian 1.30 pagi itu, Rozana, 35, ditemui berlumuran darah dengan lebih 15 kesan tikaman pada bahagian belakang badannya, di rumah sewanya di Puncak Desa, kepong.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment