My Add

Thursday 26 January 2012

13,500 bekas tentera tak berpencen hidup melarat

KUCHING, KHAAMIS, 26 Januari, 2012: Lebih separuh daripada 13,500 bekas anggota tentera yang tidak berpencen di Sarawak hidup di bawah garis kemiskinan selepas mereka gagal mendapat pekerjaan sesuai sebaik saja menamatkan perkhidmatan antara 13 tahun hingga 18 tahun.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sarawak, Leftenan Kolonel Monday Juhid, berkata ada antara bekas tentera terbabit sukar dikesan kerana tinggal jauh di pedalaman dan ada yang tidak mempunyai alamat tetap.

Berikutan itu, katanya, banyak bantuan termasuk latihan kemahiran bersesuaian untuk membantu menjana pendapatan, sukar disalurkan kepada mereka.

Ada antara bekas tentera terbabit sukar dikesan kerana tinggal jauh di pedalaman dan ada yang tiada alamat tetap. - Monday Juhid, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Sarawak

Beliau berkata, masalah timbul apabila kebanyakkan bekas anggota tentera tidak berpencen enggan mendaftar dengan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) kerana beranggapan tiada faedah diperoleh apabila menyertai persatuan itu.

“Mereka silap dan tidak tahu apabila mendaftar dengan PBTM, lebih mudah JHEV mengesan mereka dan menghulurkan bantuan untuk meningkatkan taraf hidup. Ekoran sikap inilah menyebabkan 60 peratus daripada jumlah anggota tentera tidak berpencen hidup di bawah paras kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis majlis penyampaian bantuan kebajikan kepada veteran oleh Panglima Tiga Briged Infantri, Brig Jen Hasagaya Abdullah, di pejabat JHEV Sarawak, di sini, semalam.

Monday berkata, bekas anggota tentera harus sedar tanggungjawab mengubah taraf hidup mereka selepas meninggalkan perkhidmatan dengan memanfaatkan peluang disediakan kerajaan menerusi JHEV atau Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), bukannya membiarkan keluarga hidup dalam kesusahan. 

Sehubungan itu, beliau berkata JHEV dengan bantuan 18 cawangan PBTM di seluruh negeri ini akan melaksanakan program untuk mencari dan mendaftar 7,000 lagi bekas anggota tentera yang gagal dikesan selepas mereka menamatkan perkhidmatan.

No comments:

Post a Comment