My Add

Tuesday 3 January 2012

5 maut kereta ‘terjun’ sungai

Mangsa terperangkap dalam kenderaan, nasib bayi berusia sebulan belum diketahui


KERETA Perodua Viva yang dinaiki enam sekeluarga menjunam ke dalam Sungai Mensuli di Lahad Datu, Sabah.


Oleh Suzianah Jiffar
KOTA KINABALU, SELASA, 03 Januari, 2012: Satu lagi tragedi mewarnai awal tahun 2012 apabila lima sekeluarga terbunuh, manakala nasib seorang bayi berusia sebulan belum diketahui apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki terbabas sebelum terjunam ke Sungai Mensuli di Kilometer 30 Jalan Lahad Datu-Sandakan, Lahad Datu, semalam. 

Pemandu kereta, Mohd Sharil Azman Laja Hamad, 25, isterinya, Norhidayati Abdullah, 23, anak sulung mereka, Nur Amami Zafirah, 3, dan dua penumpang lain dipercayai ibu Norhidayati dan seorang kanak-kanak yang belum diketahui identitinya.

Sehingga jam 9 malam tadi, nasib seorang lagi anak pasangan itu, Dia Amani Zafirah, yang baru berusia sebulan belum diketahui.

Usaha mencari dan menyelamat bayi berkenaan diteruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu di lokasi berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Shamsudin Mat, ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan kejadian. 

"Keluarga berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Lahad Datu ke Sandakan. 

"Mayat semua mangsa ditemui terperangkap dalam kenderaan yang dihanyutkan arus deras 200 meter dari tempat ia dipercayai terjunam pada jam 2.30 petang. 
"Berdasarkan siasatan awal, pemandu kenderaan dipercayai hilang kawalan berikutan laluan licin sebelum terbabas ke sungai," katanya. 

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, berkata kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 pagi sewaktu hujan. 

"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 11.50 pagi dan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian. 

"Sebaik tiba pada jam 12.26 tengah hari, kita melihat kesan tayar di jalan menghala ke sungai tetapi tiada kenderaan dilihat di tempat kejadian. 

"Hujan menyebabkan arus deras dan kita terpaksa menunggu atas faktor keselamatan. 

"Selepas hujan reda dan paras sungai turun, kita melihat bumbung Perodua Viva berkenaan dan menggerakkan usaha menyelamat," katanya ketika dihubungi, semalam. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment