My Add

Wednesday 4 January 2012

Bantahan rakyat kempen 901 terus meningkat

AHLI-ahli pertubuhan bukan kerajaan Padang Serai mengadakan protes   di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, Kedah, kelmarin.
KUALA LUMPUR, RABU, 04 Januari, 2012: Bantahan terhadap ‘Kempen Bebaskan Anwar 901’ semakin meningkat apabila sebanyak 339 laporan polis diterima di seluruh negara sehingga semalam.

Selangor mendahului jumlah laporan polis apabila sebanyak 102 laporan dibuat diikuti Perak (46), Pahang (44), Kedah (40), Sabah (30) dan Melaka 17.

Selain itu, Perlis pula mencatat sebanyak 16 laporan polis manakala Johor (12), Terengganu (9), Kuala Lumpur (4), Kelantan (3), Sarawak dan Pulau Pinang hanya satu laporan.

Di IBU NEGARA semalam, Pergerakan Wanita UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama 12 wakil Wanita UMNO bahagian membuat laporan polis bagi menentang penganjuran kempen itu..

Sebanyak 13 laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi oleh wakil masing-masing, diketuai Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Azizah Abd. Samad.

Azizah yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkata, selain menentang kempen bersifat peribadi itu, pihaknya juga menyeru mahasiswa-mahasiswa supaya tidak terlibat demonstrasi jalanan berkenaan.

“Kempen ini hanya untuk kepuasan peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, oleh itu mahasiswa perlu berfikir panjang daripada ‘bahan’ ketua pembangkang itu di jalan raya,” katanya. 

Turut membuat laporan adalah Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), IRIMM Pulau Pinang, Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma) serta MIC Wangsa Maju di IPD sama pada pukul 11.30 pagi.

Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan terhadap penganjur yang dikhuatiri akan mencetuskan suasana tegang dan huru-hara.

Di TEMERLOH, beberapa NGO mewakili kaum Melayu dan India sekitar daerah itu membuat laporan di Balai Polis Lanchang manakala satu lagi laporan dibuat Pemuda MIC dan Puteri UMNO Bahagian Temerloh di Balai Polis Temerloh di sini semalam.

Razmi Sudin yang mewakili NGO daerah itu mahu polis bertindak segera menghalang perhimpunan haram di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Temerloh, Nurashikin Sulaiman berkata, Puteri UMNO dan Pemuda MIC Temerloh membuat laporan yang sama supaya polis bertindak tegas menghalang perhimpunan itu diteruskan.

Di KUALA LANGAT, sebanyak 39 laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat malam semalam oleh 39 ahli Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kuala Langat, pukul 9.30 malam.

Di KULIM, lebih 150 ahli UMNO Bahagian Padang Serai dan tujuh NGO berarak sebelum membuat laporan polis petang semalam, bagi membantah perhimpunan tersebut. - UM 

No comments:

Post a Comment