My Add

Wednesday 11 January 2012

Dagangan Malaysia naik 8.7 peratus

KUALA LUMPUR, RABU,  11 Januari, 2012: Jumlah perdagangan Malaysia berkembang 8.7 peratus kepada RM1.16 trilion antara Januari dan November 2011, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengumumkan angka-angka itu hari ini, Mustapa berkata, eksport meningkat sembilan peratus kepada RM633.81 bilion sementara import mengukuh 8.4 peratus kepada RM521.81 bilion, menyaksikan lebihan dagangan RM112 bilion dalam tempoh itu.

Mustapa berkata, China telah mengekalkan kepentingannya sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia dalam tempoh berkenaan, menguasai RM151.34 bilion, atau 13.1 peratus daripada jumlah dagangan negara.

"Ia juga merupakan destinasi sumber eksport dan import terbesar Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, barangan pembuatan menguasai 80.2 peratus daripada produk yang didagangkan antara kedua-dua negara berlandaskan kepada rantaian industri yang pesat berkembang yang telah dimajukan sejak beberapa tahun.

Penguasaan ASEAN daripada jumlah dagangan Malaysia untuk tempoh ini kekal dalam lingkungan 26 peratus, dengan Singapura 48.8 peratus, Thailand (24.5 peratus) dan Indonesia (16.8 peratus), kata beliau.

Untuk tempoh November 2011, Mustapa berkata, eksport Malaysia bernilai RM56.86 bilion, meningkat lapan peratus berbanding bulan yang sama 2010.

"Import pula 8.4 peratus lebih tinggi kepada RM47.38 bilion sementara jumlah perdagangan mengembang 8.2 peratus daripada November 2010 kepada RM104.24 bilion,” katanya.

Mustapa berkata, harga-harga tinggi dan meningkatnya permintaan telah merancakkan eksport pada bulan November 2011, terutamanya untuk gas asli cecair, petroleum mentah dan minyak sawit.

"Eksport pembuatan seperti mesin, kelengkapan dan bahagian, kimia, pengeluaran logam serta produk getah turut meningkat,” kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan bulan-ke-bulan, eksport, import dan jumlah dagangan pada bulan November 2011, masing-masing rendah sebanyak 10.2, 5.2 dan 8.1 peratus. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment