My Add

Friday 27 January 2012

Elak tragedi lemas berulang





Oleh ZAMZURINA AHMAD

KUANTAN, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis perlu mengambil tindakan lebih proaktif di setiap kawasan pantai bagi mengelak kejadian lemas berulang, terutama pada musim cuti persekolahan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan polis atau mana-mana agensi keselamatan perlu memberi tumpuan serius mengenai aspek keselamatan pengunjung walaupun telah meletakkan papan tanda peringatan.

“Jangan sekadar meletakkan tanda amaran, tetapi perlu ada pasukan yang mengawasi para pengunjung dan dalam masa sama kehadiran pasukan keselamatan sedikit-sebanyak membuatkan mereka ‘segan’ untuk mandi.

“Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi sekiranya terdapat anggota keselamatan yang bertugas, pasti kejadian seumpama ini boleh dielakkan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika mencemar duli menziarahi keluarga dua beradik, Mohd. Zaiful Abu Talib, 13, dan adik tirinya, Mohd. Saiful Mohd., 11, yang lemas baru-baru ini di rumah mereka di Sungai Isap di sini, kelmarin.

Turut berangkat Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Terdahulu, selepas kejadian lemas yang membabitkan dua beradik itu di Pantai Sepat, seorang lagi mangsa, R. Arvin,16, dari Air Putih di sini, ditemui lemas kira-kira 20 meter dari lokasi tragedi pada keesokan harinya.

Baginda bertitah, pengunjung perlu lebih berhati-hati dan mengawasi anak-anak mereka apabila beriadah di kawasan pantai.

“Setiap pengunjung perlu lebih menitikberatkan aspek keselamatan kerana kejadian lemas yang berlaku baru-baru ini tidak mengenal tua atau muda.

“Seharusnya mereka lebih mengambil iktibar daripada beberapa kejadian (lemas) yang berlaku di kawasan sama sebelum ini dan lebih berhati-hati atau tidak berkunjung ke sana,” titah baginda. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment