My Add

Monday 23 January 2012

Hanya mimpi di siang hari

Oleh FARHANA JONI

KUALA LUMPUR, ISNIN, 23 Januari, 2012: Dakwaan anak kelahiran Perak, Kamal Ashnawi bahawa dia bakal ditabalkan menjadi Maharaja Indonesia dalam beberapa tahun lagi disifatkan sebagai mimpi di siang hari.

Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia di Malaysia, Khairuddin Harahap berkata, jika Kamal Ashnawi hanya mendakwa sebagai kerabat diraja Indonesia, mungkin boleh dipercayai tetapi bukan sebagai maharaja.

"Tidak wujud kedudukan maharaja di Indonesia, malah golongan diraja itu tidak perlu ditabalkan sebaliknya ia terus diwarisi daripada generasi ke generasi.

"Indonesia mempunyai sejarah kesultanan sendiri seperti Kesultanan Solo dan Yogyakarta di wilayah Jawa Tengah, namun mereka hanya dihormati tetapi tidak mempunyai kuasa memerintah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam. 

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan mengenai Kamal Ashnawi yang mendakwa dirinya mempunyai wang simpanan melebihi 5 trilion Euro (RM20 trilion) walaupun tidak tersenarai sebagai orang kaya di dunia.

Selain itu, Kamal Ashnawi turut mendakwa dirinya merupakan keluarga diraja dari Jawa, Indonesia dengan namanya Raden Mas Prabhu Gusti Agung Ki Asmoro Wijoyo dan bakal ditabal menjadi Maharaja Indonesia beberapa tahun lagi.

Jelas Khairuddin, sejak 1945, sistem diraja di Indonesia telah runtuh dan negara itu telah bertukar menjadi republik.

"Dakwaan Kamal Ashnawi itu sangat tidak masuk akal kerana sejak Indonesia mencapai kemerdekaan, sistem pemerintahan di negara itu bukan lagi mengikut sistem monarki (beraja) sebaliknya melalui Dewan Perwakilan Daerah dan Dewan Perwakilan Rakyat yang memilih seorang Presiden," katanya.

Katanya, kerabat diraja Indonesia yang masih ada sehingga hari ini akan mempunyai gelaran 'Raden' diawal nama mereka dan turut dikenali dengan keturunan 'berdarah biru' atau golongan bangsawan.

No comments:

Post a Comment