My Add

Wednesday 25 January 2012

Harap ekonomi negara terus baik

ZAMBRY Abd. Kadir (tengah) bersama tetamu kenamaan menggaul yee sang pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di Ipoh, semalam.

IPOH, RABU, 25 Januari, 2012: Sempena kedatangan tahun naga air bagi kalendar Lunar Cina kali ini, kaum Cina berharap ekonomi negara dan sektor perniagaan berkembang dengan baik.

Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Perak, Tan Sri Chong Chin Shoong berkata, kaum itu turut berharap pekerjaan dan pelajaran untuk setiap rakyat di negara ini terus maju dan makmur.

"Memasuki tahun baru tiada tanda menunjukkan krisis hutang Eropah akan berakhir, malah ia nampaknya semakin kritikal dan melibatkan lebih banyak negara.

"Saya tahu ramai antara kita melihat perkara seperti ini," katanya ketika berucap pada sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Chin Shoong menyifatkan tahun lepas sebagai tahun yang penuh cabaran ekoran krisis kewangan di Eropah, Revolusi Jasmine yang bermula di Tunisia merebak ke negara Timur Tengah lain dan krisis kebocoran radiasi nuklear di Jepun mendatangkan kesan besar terhadap ekonomi dan politik global.

Katanya, wujud kebimbangan dalam kalangan rakyat berhubung pekerjaan dan inflasi serta kenaikan harga barang yang turut memberi kesan kepada bajet isi rumah.

Sementara itu, Zambry mengumumkan sumbangan RM50,000 kerajaan negeri kepada Dewan Perhimpunan Cina Perak bagi membiayai aktiviti dan pengurusan persatuan itu. - BERNAMA


No comments:

Post a Comment