My Add

Thursday 26 January 2012

Isu Madarasah Salihiah diserah kepada Kerajaan Pas Kedah

ALOR SETAR, KHAMIS, 26 Januari, 2012: Pemaju kompleks beli-belah Aman Central di sini menyerahkan kepada Kerajaan Pas Kedah untuk menguruskan isu bantahan merobohkan Madrasah Salihiah bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek bernilai RM500 juta itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Belleview, Datuk Sonny Ho berkata, isu berkenaan adalah sensitif dan sebagai seorang ahli perniagaan, adalah lebih elok jika beliau tidak menyentuh mengenai perkara tersebut.

"Perkara ini saya serah kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri untuk bercakap mengenainya. Ia perkara sensitif dan lebih baik saya tidak mengulas," katanya pada sidang akhbar mengenai projek Kondominium Amansuri Residences bernilai kira-kira RM120 juta, di sini, semalam.

Projek berkenaan dijangka siap dengan kompleks beli-belah Aman Central menjelang hujung 2014.

Awal bulan ini, Jawatankuasa Madrasah Salihiah memfailkan permohonan injunksi mahkamah bagi menghalang tapak dan premis madrasah tersebut dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan kompleks beli-belah itu.

Writ saman tersebut akan didengar pada 6 Februari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagaimanapun dilaporkan berkata, sama ada keputusan mahkamah memihak kepada kerajaan negeri dan Majlis Fatwa Kedah atau tidak, projek pembangunan Aman Central akan dilaksanakan mengikut jadual.

Sonny percaya isu berkenaan akan selesai kerana sebagai sebuah negara berbilang kaum, sikap berkompromi dan saling memahami amat penting bagi meneruskan keamanan dan keharmonian yang dikecapi selama ini.

"Sebagai seorang ahli perniagaan, ini pandangan saya, tetapi kalau tanya saya bagaimana dan apa (isu merobohkan Madrasah Salihiah), saya serahkan kepada kerajaan negeri untuk menguruskannya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment