My Add

Friday 6 January 2012

JIM pertikai peranan Majlis Peguam

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan tujuan penubuhan Majlis Peguam kerana dilihat kini lebih cenderung memihak kepada perjuangan individu berbanding membela nasib rakyat.

Salah satu NGO yang mempertikaikan tindak-tanduk badan tersebut adalah Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang berpendapat Majlis Peguam tidak sewajarnya menyokong mana-mana penganjuran perhimpunan yang diketahui boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara.

Presiden JIM, Zaid Kamaruddin berkata semalam, biarpun rakyat berhak untuk bersuara namun ia tidak wajar dilakukan di jalanan lebih-lebih lagi dalam satu perhimpunan yang bermotifkan politik atau bertujuan membela kepentingan individu.

"Sepatutnya Majlis Peguam menggunakan peranannya untuk mendidik masyarakat agar jangan terpengaruh atau terlibat menyertai mana-mana perhimpunan yang bertujuan membelakangkan undang-undang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Majlis Peguam berhubung hak rakyat untuk berhimpun dan membantah keputusan mahkamah kerana ia tidak dilarang dari segi undang-undang.

Zaid menyifatkan kenyataan itu sebagai amat berbahaya kerana ia boleh menggalakkan masyarakat untuk menyertai perhimpunan haram seperti 'Kempen Bebaskan Anwar 901' pada 9 Januari ini.

"Badan itu sepatutnya berkecuali dan lebih banyak mendidik masyarakat dalam soal ini (undang-undang) tetapi nampaknya mereka pula banyak memihak kepada pembangkang," katanya.

Pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang pula berkata, Majlis Peguam sewajarnya mengambil pendekatan mendidik masyarakat dengan memberi penerangan yang terperinci berhubung isu yang berlaku.

"Sepatutnya mereka nasihatkan orang ramai jangan sertai perhimpunan ini dan memberi penerangan mengenai prosedur mahkamah," katanya.

Beliau melihat Majlis Peguam gagal menjalankan peranannya sebagai badan yang memperjuangkan kebebasan kehakiman apabila tidak berfungsi sewajarnya dalam isu-isu yang berkaitan.

Sementara itu Setiausaha Agung Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, sebagai badan yang arif tentang undang-undang, Majlis Peguam seharusnya sedar bahawa perhimpunan yang dirancang pada 9 Januari nanti bermotifkan politik.

"Amat jelas penganjuran perhimpunan tersebut disalahgunakan oleh parti politik untuk memperjuangkan kepentingan individu dan lebih mengecewakan, Majlis Peguam seolah-olah menyokong perbuatan itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment