My Add

Friday 27 January 2012

Kampung Klias Kecil dapat masjid baru

LAJIM Ukin (tiga dari kiri) melancarkan projek pembinaan masjid baru di Kampung Klias Kecil, Beaufort, semalam.

BEAUFORT, JUMAAT, 27 Januari, 2012: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan setengah juta ringgit bagi membina masjid baru di Kampung Klias Kecil, dalam daerah ini.


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, kerja-kerja pembinaan masjid berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

"Ia bagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah selain untuk menggantikan masjid sedia ada di Kampung Klias Kecil ini.

"Apabila siap, masjid itu boleh menampung seramai 500 jemaah dan turut dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tandas dan juga tempat mengambil air sembahyang bagi lelaki dan wanita," katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah pembinaan masjid tersebut, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Klias, Isnin Aliasnih; Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Sabah, Samin Ongki dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Beaufort, Mohd. Ishak Ibrahim.

Lajim berkata, projek pembinaan masjid baru tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap keperluan asas rakyat termasuk pembinaan rumah ibadat.

Ahli Parlimen Beaufort itu bagaimanapun kesal dengan tohmahan beberapa individu yang mendakwa projek tersebut merupakan gimik politik kerajaan BN.

"Permohonan bagi membina masjid baru di kampung ini telah saya usahakan sejak sekian lama semasa menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias lagi.

"Namun, beberapa halangan lain telah membantutkan usaha tersebut termasuklah soal tapak," ujarnya.

Beliau berkata, kesabaran rakyat kampung itu berbalas apabila masjid baru berkenaan bakal tersergam indah dan turut memberikan kemudahan asas yang lebih baik dan sempurna bagi umat Islam di situ - UYUSAN

No comments:

Post a Comment