My Add

Friday 6 January 2012

Keamanan dan perpaduan negara perlu dikekalkan: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Keamanan dan perpaduan rakyat berbilang bangsa dan agama adalah satu keistimewaan yang dikecapi Malaysia dan perlu dikekalkan dalam mencapai matlamat negara maju menjelang 2020. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keadaan sebegitu wujud sejak bertahun lamanya di dalam negara malahan sebelum gagasan 1Malaysia diperkenalkan lagi.

"Kita terima walaupun kita berbeza, kita adalah rakyat Malaysia, kita hormat satu sama lain, kita tidak ada memandang rendah antara kita sama kita, kerana kita tahu, kita adalah rakyat dalam satu Malaysia," katanya semasa berucap pada program mesra rakyat 1Malaysia di Taman Bukit Maluri, Kepong di sini, hari ini.

Malahan, beliau berkata Malaysia telah dianggap sebagai negara contoh oleh pemimpin-pemimpin luar negara yang mengagumi perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk yang wujud di dalam negara. 

Justeru, beliau meminta semua rakyat agar tidak terpengaruh dengan ajakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengajak untuk menyertai demonstrasi, perhimpunan dan sebagainya yang bertujuan menimbulkan kacau bilau. 

"Kita mahu duduk rumah senang-senang, kita tak mahu orang kacau kita. Apa tujuan mereka? Mereka tahu kalau negara kita aman, tenteram, mereka mungkin tidak dapat sokongan rakyat, sebab itu mereka buat perkara luar biasa," katanya. 

Beliau berkata, perkara itu bukan sahaja menimbulkan kacau-bilau dalam negara malahan memberi gambaran negatif dan kesan buruk kepada negara. 
Muhyiddin juga berharap agar rakyat dapat membuat pilihan bijak dalam memilih kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang dengan memilih kerajaan yang mempunyai visi pembangunan negara yang jelas. 

"Semua kita buat pertimbangan secara teliti kerana kita nak selesaikan masalah kita, kerana apabila kita sampai 10 tahun akan datang, bukan sahaja kita nak jadi negara maju tetapi rakyat kita mesti ada pendapatan baik. Kita punya perancangan yang jelas," katanya. 

Beliau berkata, rancangan parti pakatan tidak jelas dan sekarang ini sudah berkecamuk dengan pelbagai hal timbul sama ada dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP atau PAS. 

"Hari ini kita tahu ada masalah besar yang dihadapi pemimpin-pemimpin mereka, dia tidak ada vision, dia tak jelaskan kepada rakyat apa yang dia nak laksanakan dalam tempoh 10 tahun akan datang, dia tak boleh menjanjikan perkara-perkara yang penting untuk rakyat," katanya. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. 

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM50,000 untuk membaiki kemudahan di Tokong Yee Lan, Bukit Maluri dan menyampaikan surat kelulusan perizaban tanah tokong itu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment