My Add

Friday 6 January 2012

Kelab Pelancongan perkenal Malaysia kepada pelajar asing

MELAKA, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Kementerian Pelancongan akan bekerjasama dengan Universiti Multimedia (MMU) untuk mewujudkan sebuah Kelab Pelancongan yang berperanan menyalur maklumat kepada pelancong luar negara khususnya dalam kalangan pelajar. 

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata MMU dipilih sebagai medium pembangunan pelancongan multimedia kerana kedudukannya yang strategik di Melaka dan status sebagai bandar warisan dunia yang diiktiraf oleh Unesco.

"Penubuhan kelab ini bakal menjadi medium menyalurkan maklumat tentang keunikan sektor pelancongan di Malaysia dan Melaka khususnya kepada pelajar luar negara seperti dari Rusia dan Timur Tengah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Tahun Baru Cina di Dataran MMU di sini, malam tadi.

Ng berkata, sebagai permulaan, Kementerian Pelancongan akan menyalurkan RM10,000 kepada universiti itu untuk pendedahan ilmu pelancongan melalui seminar atau pelbagai bentuk perkongsian ilmu lain. 

Kementerian, katanya, akan turut membantu kelab itu melatih peserta daripada kalangan pelajar universiti berkenaan untuk menjadi pemandu pelancong yang baik terutama daripada aspek komunikasi dan sejarah negeri Melaka. 

"Pelajar universiti ini juga akan dapat menjana pendapatan tambahan melalui aktiviti ini dan secara tidak langsung membantu memajukan lagi sektor pelancongan di Melaka," katanya. 

Presiden MMU, Prof Datuk Dr Muhamad Rasat Muhamad, berkata kombinasi pelancongan dan kreatif media yang melibatkan multimedia adalah satu bidang menarik untuk diceburi dan bakal membuka peluang pekerjaan lebih luas kepada pelajar universiti itu. 

Katanya, MMU pernah memulakan projek mendokumentasi pelbagai bangunan bersejarah di beberapa negeri melalui bentuk multimedia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment