My Add

Tuesday 10 January 2012

Kenya, Mauritius mahu tingkatkan hubungan

NAJIB Tun Razak bersalaman dengan Kalonzo Musyoka ketika menerima kunjungan hormat Naib Presiden Kenya itu di Bloemfontein, Afrika Selatan, semalam. - BERNAMA

BLOEMFONTEIN, Afrika Selatan, SELASA, 10 Januari, 2012: Kenya melahirkan rasa kagum dengan perancangan program transformasi dan ekonomi kerajaan (GTP dan ETP) dan ingin mendapatkan maklumat mendalam mengenai Model Ekonomi Baru (MBE) negara ini.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di sini selepas menerima kunjungan hormat Naib Presidennya, Stephen Kalonzo Musyoka di sini semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kenya turut menyifatkan Malaysia sebagai model yang harus dicontohinya.

"Naib Presiden Kenya ini merupakan salah seorang calon pilihan raya untuk jawatan Presiden dan dalam beberapa bulan akan datang, beliau akan memberi tumpuan kepada proses (bertanding) jawatan Presiden.

"Dalam pertemuan hari ini, beliau melahirkan rasa kagum dengan perancangan GTP, ETP dan MBE negara dan mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenainya," kata beliau.

Perdana Menteri berada di sini kerana menyertai lebih 45 ketua kerajaan menghadiri sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) atas jemputan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma dekat sini.

Bagaimanapun, pertemuan empat mata Najib dan Zuma tidak dapat dilakukan kerana jadual ketat Presiden tersebut, selain kekangan logistik termasuk kawalan keselamatan di Stadium Ragbi Mangaung, tempat berlangsungnya sambutan ulang tahun ANC itu yang dihadiri lebih 100,000 pengikut dan penyokong parti tersebut.

Sementara itu, mengulas perbincangan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Mauritrius, Dr. Ahmed Rashid Beebeejaun yang ditemuinya ketika transit menuju Afrika Selatan semalam, Perdana Menteri berkata, Mauritius berharap hubungan dua hala dengan Kuala Lumpur dapat ditingkatkan.

"Sebab ada mekanisme dalam Suruhanjaya Bersama yang ditubuhkan antara kedua-dua negara tetapi perlu digilap semula.

"Ini lebih-lebih lagi apabila Mauritius ketika ini menghadapi tekanan ekonomi sebab lebih 65 peratus hubungan dagangan mereka adalah dengan Kesatuan Eropah (EU). Dengan kejatuhan nilai euro dan krisis ekonomi Eropah, Mauritius yang orientasi ekonominya yang tinggi dengan Eropah telah menjejaskan eksport tekstil, gula dan industri pelancongannya akibat krisis ekonomi ini," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment