My Add

Friday 6 January 2012

Kerajaan sasar pulih 35 projek rumah terbengkalai tahun ini

SEREMBAN, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menyelesaikan sebanyak 35 projek perumahan terbengkalai yang melibatkan 12,000 unit rumah di seluruh negara pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, sejak 2009 kementerian telah berjaya menyelesaikan sebanyak 84 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara dengan 31 daripadanya dipulihkan pada tahun lalu.

''Kebanyakan projek perumahan itu melibatkan rumah kos rendah yang pembelinya terdiri daripada mereka berpendapatan rendah dan terpaksa membayar pinjaman perumahan kepada bank," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Taman Kerisi dekat sini dan Taman Bukit Ara, Kuala Pilah di Tapak Projek Projek Taman Kerisi semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ahmad Kabit; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Siow Chen Pin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pilah (ADUN), Adnan Abu Hassan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Chee Heung menjelaskan, beberapa penambahbaikan telah pun dilakukan bagi meningkatkan lagi tanggungjawab para pemaju untuk membendung projek perumahan terbengkalai di negara ini.

Jelas beliau, ia termasuk penambahbaikan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) Akta 118 yang merangkumi beberapa pindaan peruntukan yang telah diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

''Dalam akta berkenaan, kita juga menaikkan deposit di dalam Akaun Pemajuan Perumahan dari RM200,000 kepada tiga peratus daripada jumlah anggaran kos pembinaan termasuk yuran profesional dan sekiranya projek itu bermasalah, deposit tersebut akan digunakan untuk tujuan membaik pulih.

''Malah pembeli juga dibenarkan menamatkan perjanjian jual beli pada bila-bila masa sekiranya tiada kemajuan di tapak selama enam bulan berterusan," jelas beliau.

Ditanya mengenai projek perumahan Taman Kerisi dan Taman Bukit Ara, Chee Heung berkata kedua-dua projek perumahan itu berjaya dipulihkan dengan peruntukan RM8 juta setelah terbengkalai antara enam hingga lapan tahun.

Taman Kerisi melibatkan pembinaan 126 unit rumah dengan 111 pembeli manakala Taman Bukit Ara melibatkan 72 unit rumah dengan 66 pembeli. Kedua-dua projek berkenaan berjaya disiapkan dan memperoleh Sijil Layak Menduduki (CF) pada 3 Disember lalu dan 23 Disember lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment