My Add

Thursday 12 January 2012

Kes liwat: Majlis Peguam berpihak kepada pembangkang


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri) membeli barangan produk 1Malaysia ketika melawat Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Seksyen 4 Wangsa Maju, hari ini. Turut kelihatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub (kiri) dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Dr Ameer Ali (kanan). - Foto BERNAM

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 12 Januari, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Peguam kelihatan lebih berpihak kepada kepentingan pembangkang apabila menyuarakan pendapat berhubung keputusan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Majlis Peguam dilihat mementingkan pembangkang apabila meminta Pejabat Peguam Negara tidak merayu terhadap keputusan mahkamah itu, yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Beliau berpendapat Azlan Mohd Lazim, bapa Mohd Saiful Bukhari mempunyai hak untuk memohon Pejabat Peguam Negara mengemukakan rayuan terhadap pertuduhan itu bagi mendapatkan keadilan untuk anaknya.

"Itu suara seorang bapa yang kita tahu mahu anak beliau mendapat pembelaan yang secukup-cukupnya dan saya fikir ini tidak bertentangan dengan proses undang-undang," katanya kepada pemberita selepas melawat Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia di kawasan Wangsa Maju di sini hari ini.

Mengenai krisis bekalan air di Selangor, Muhyiddin berkata, ia berlarutan disebabkan sikap kerajaan negeri Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat, yang tidak cepat memberi maklumat balas terhadap keperluan rakyat. 

"Masalah ini berlarutan begitu lama dan jika ia tidak diselesaikan dengan kadar segera, maka akan berlaku krisis air di Wilayah Persekutuan dan Selangor," katanya.

Muhyiddin juga meminta kerajaan PKR Selangor tidak mempolitikkan isu bekalan air itu sebaliknya segera meluluskan permohonan bagi Skim Bekalan Air untuk memastikan bekalan air dilaksanakan mengikut perancangan. 

"Kita minta kerajaan Selangor mementingkan kebajikan rakyat. Mereka kata bersedia untuk selesaikan (masalah) tapi sehingga hari ini masih tak selesai. 

Kita bimbang Lembah Klang berdepan dengan krisis bekalan air yang tenat," katanya. 

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menjangka krisis air berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 2014 jika tiada tindakan segera menanganinya.

Muhyiddin juga berkata, Kementerian Kewangan sedang menilai jumlah peruntukan yang perlu disalurkan kepada Agensi Penguatkuasaan Martitim Malaysia (APMM) bagi menampung penyelenggaraan dua pesawat amfibia milik APMM yang tersadai sejak dua tahun akibat kekurangan kewangan.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa operasi pesawat amfibia jenis Bombardier Aerospace CL415MP memerlukan belanja yang besar.

"Bagaimanapun, proses penguatkuasaan APMM tidak terjejas kerana mereka boleh menggerakkan aset yang lain," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment