My Add

Thursday 19 January 2012

KMD buka ladang solar pertama Malaysia

Nordin Ali (kiri) bertukar dokumen dengan Shahrulakram Osman sambil disaksikan Mohd. Ali Rustam selepas menandatangani MoU bagi pembangunan ladang solar di Seri Negeri, Air Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA, KHAMIS,  19 Januari, 2012: Kumpulan Melaka Berhad (KMD) anak syarikat kerajaan negeri semalam mengumumkan pembangunan projek ladang solar pertama di negara ini bermula bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KMD, Nordin Ali berkata, projek yang akan dibangunkan di kawasan seluas 6.9 hektar di World Solar Valley, Rembia itu melibatkan kos sebanyak RM40 juta dan dijangka siap sebelum 15 Disember tahun ini.

Menurutnya, KMD muncul syarikat pertama daripada 20 syarikat yang telah diluluskan oleh Kementerian Teknologi Hijau bagi membangunkan projek ladang solar pertama di negara ini.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut KMD menjalinkan hubungan kerjasama dengan sebuah syarikat PV. Hi-Tech Solar Sdn. Bhd. bagi membina infrastruktur dan pembinaan ladang solar.

''PV Hi-Tech Solar Sdn. Bhd. adalah syarikat yang membangunkan, mengeluarkan dan memasarkan modul solar monocrystalline dan polycrystalline silikon yang setanding dan kualitinya bertaraf dunia.

''Melalui pembinaan projek ladang solar ini kita mampu membekalkan tenaga solar 50MW setahun dan sasaran pada 2013 adalah kepada 100MW," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili KMD menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PV Hi-Tech Solar Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrulakram Osman dan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Nordin berkata, apabila siap nanti projek ladang solar itu ia dijangka membawa pulangan sebanyak RM5.5 juta setahun dan dijangka mencecah RM74 juta dalam tempoh 21 tahun.

Sementara itu, Shahrulakram berkata, syarikatnya menetapkan perancangan lima tahun untuk muncul sebagai satu-satunya syarikat di Asia Tenggara yang akan melaksanakan intergrasi vertikal.

''Pada 2013, kami akan mula mengeluarkan sel solar dan tahun berikutnya pula dengan mengusahakan wafer solar,'' katanya.

Katanya, syarikatnya juga merancang untuk meningkatkan kapasiti dari 50MW kepada 100MW menjelang akhir tahun 2013 bagi melakar masa depan tenaga solar buatan Malaysia. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment