My Add

Saturday 7 January 2012

Lantik PM sementara hanya helah Anwar

KUALA LUMPUR, SABTU, 07 Januari, 2012: Hasrat melantik Perdana Menteri sementara sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara adalah sebagai helah bagi menutup kelemahan parti itu.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Zaheruddin Othman berkata, kenyataan Anwar itu hanyalah sekadar retorik politik yang mahu menunjukkan dirinya masih lagi relevan dan diterima rakyat.

Katanya, tidak sepatutnya kenyataan sebegitu dikeluarkan kerana ia seolah-olah tidak menghormati parti lain dalam pakatan iaitu Pas dan DAP.

"Anwar harus melihat sokongan rakyat secara keseluruhan bukan mereka yang menyokongnya sahaja, malah mengikut logiknya adakah rakyat negara ini mampu menerima seorang Perdana Menteri yang pernah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

"Biarpun dia ada persetujuan di antara rakan-rakan pakatannya, tidak sepatutnya kenyataan begitu dikeluarkan kerana ia seolah-olah tidak menghormati mereka (Pas dan DAP)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Anwar yang akan melantik Perdana Menteri sementara sekiranya dia dijatuhkan hukuman terhadap kes liwat dan Pakatan Rakyat memenangi PRU13 seperti yang dilaporkan dalam satu wawancara eksklusif Anwar bersamaMalaysiakini.

Tambah Zaheruddin, PKR sedang berhadapan dengan masalah dalaman parti yang besar sehingga menyebabkan Anwar bertindak sedemikian supaya rakyat melihat dirinya masih kuat dan diterima, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.

"Banyak komen yang menunjukkan bahawa PKR sudah tidak relevan dan mungkin itu sebab Anwar begitu yakin mengeluarkan kenyataan. Lagipun matlamat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri memang sudah diketahui umum sejak dahulu lagi," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment