My Add

Sunday, 29 January 2012

Mahasiswa perlu manfaat genggam ijazah, elak berpolitik

KUALA LUMPUR, AHAD, 29 Januari, 2012: Mahasiswa sepatutnya bijak memanfaatkan peluang untuk menggenggam segulung ijazah dan tidak tergila-gila berpolitik yang hanya bertujuan memenuhi nafsu seorang pemimpin pembangkang mahu menjadi perdana menteri, demikian nasihat beberapa pihak yang prihatin kepada mereka. 

Mereka berpendapat masih terlalu awal untuk mahasiswa menjebakkan diri secara serius dalam gelumang politik kerana ia bertentangan dengan matlamat asal mereka ke institusi pengajian tinggi untuk menjadi modal insan negara.

Berpolitik secara melampau dan tidak matang boleh menyebabkan seseorang mahasiswa kandas, sekali gus menghancurkan harapan ibu bapa khasnya golongan miskin di luar bandar yang mahu melihat anak-anak pulang dengan segulung ijazah yang mampu mengubah nasib keluarga.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad, berkata mahasiswa harus lebih bijak membuat pertimbangan intelektual dalam menentukan keutamaan mereka dalam kehidupan dan tidak membiarkan diri diperalatkan golongan yang rakus mahu berkuasa. 

"Saya melihat perjuangan menentang AUKU (Akta Universiti Dan Kolej Universiti) ini membabitkan sebahagian kecil saja daripada keseluruhan mahasiswa. Saya juga melihat isu AUKU ini sebenarnya tidak mendatangkan masalah cuma mereka ini mudah dipengaruhi dan diperalatkan pembangkang. 

"Kita bimbang golongan yang kecil ini kerana vokal dan kadang kala sanggup bertindak melulu, akan mempengaruhi mahasiswa lain yang tenang dan ingin mencapai kecemerlangan akademik," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini. 

Beliau berkata, demonstrasi sekumpulan pelajar baru-baru ini juga tidak mempamerkan sikap intelektual mereka bahkan apa yang diperjuangkan juga tidak relevan berbanding perjuangan pemimpin pelajar di tahun 1970-an. 

"Sekarang mereka tidak memperjuangkan soal kemiskinan, kesihatan atau ekonomi sebaliknya memperjuangkan isu yang tiada asas yang direka-reka dan dihasut pembangkang. 

"Kalau inilah perjuangan mereka yang hanya mahu menyokong kerakusan pemimpin pembangkang, maka sangat malang bagi mereka yang mengikuti kumpulan berkenaan," katanya, yang menambah bahawa usia mereka masih muda dan tidak perlu terburu-buru dan melulu berpolitik. 

"Hargailah peluang menuntut ilmu yang ada sekarang. Kalau sudah jadi seperti kes Adam Adli (mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris yang digantung pengajian tiga semester kerana mencemarkan nama baik universiti), yang rugi adalah dia dan keluarganya yang banyak berkorban untuknya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment